IPOH – Dua lelaki ditahan polis hari ini selepas video mereka bergaduh di luar sebuah restoran dekat sini, tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A. Asmadi Abd. Aziz berkata, tangkapan itu dilakukan sejurus pihak polis menerima laporan berhubung kejadian itu yang disiasat mengikut Seksyen 160/427 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.
Katanya, siasatan mendapati, pergaduhan itu berlaku akibat perselisihan faham dan provokasi antara pemilik restoran dan pelanggan atas isu pembayaran makanan.
“Kita sahkan telah menerima laporan berhubung kejadian itu dan tangkapan juga dilakukan terhadap dua lelaki yang terlibat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut A. Asmadi berkata, pihak polis juga mengesan seorang pemilik akaun Twitter bernama ‘V 3 3 R U@VEERUUUUUUUU’ yang didapati mengeluarkan kenyataan kononnya anggota polis yang berada di lokasi kejadian tidak mengambil sebarang tindakan.
Katanya, berdasarkan semakan ke atas video yang dikongsi pemilik akaun itu, individu yang dilihat memakai uniform berwarna gelap bukan anggota polis sebaliknya anggota penguat kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT).
“Sehubungan itu, satu laporan polis telah dibuat ke atas pemilik akaun itu untuk siasatan di bawah Seksyen 505(C) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya.
Terdahulu, video berdurasi 1 minit 36 saat yang tular di media sosial itu memaparkan perselisihan faham antara penunggang penghantar makanan dengan seorang lelaki dipercayai pemilik restoran.
Kejadian bertikam lidah itu sambil ditenangkan anggota penguat kuasa PBT menjadi tidak terkawal apabila kedua-dua mereka saling menyerang dan memukul. K! ONLINE.