fbpx

Dasar Kaunseling Negara diperkenal tumpu isu kesihatan mental

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Dasar Kaunseling Negara akan diperkenalkan bagi memperkasakan perkhidmatan kaunseling yang antara lain sebagai langkah intervensi sosial terhadap isu kesihatan mental dalam kalangan masyarakat pada masa kini.

Perkara itu antara yang dipersetujui dalam mesyuarat Majlis Sosial Negara (MSN) Bilangan 1 Tahun 2021 yang dipengerusikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin secara sidang video di sini semalam.

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dalam satu kenyataan berkata, penggubalan Pelan Tindakan Warga Emas juga antara yang dipersetujui dalam mesyuarat semalam dengan mengambil kira tahap kesediaan dan strategi negara dalam menghadapi status negara tua menjelang tahun 2030 kelak.

“Mesyuarat bersetuju dengan cadangan intervensi yang meliputi aspek penjagaan warga emas, kewangan dan perlindungan sosial, pendidikan dan pekerjaan serta persekitaran warga emas melalui penggubalan pelan tersebut,” katanya di sini hari ini.

KPWKM berkata, mesyuarat turut bersetuju bahawa terdapat keperluan untuk memperkasakan kesukarelawan melalui kerjasama pintar serta memperkenalkan Skim Bank Masa (Time Bank) bagi menggalakkan lebih ramai penyertaan aktif sukarelawan.

“Ia hasil perbincangan mesyuarat yang melihat aktiviti kesukarelawanan banyak membantu rakyat terutamanya ketika negara dilanda pandemik Covid-19,” katanya.

Katanya, Perdana Menteri juga berharap MSN akan menjadi satu platform yang aktif dan berkesan untuk agensi kerajaan, ahli akademik dan pihak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) membentangkan cadangan-cadangan bernas dalam menangani masalah sosial ke arah pembangunan sosial negara yang lebih sejahtera.

“Kerjasama bersepadu ini amat diperlukan bagi memastikan kesejahteraan masyarakat secara menyeluruh,” katanya.

MSN ditubuhkan sebagai jentera pelaksana Dasar Sosial Negara yang merupakan dasar payung merangkumi falsafah dan pelbagai dasar pembangunan sosial negara.

Pelaksanaan majlis itu akan memberi manfaat kepada pelbagai pihak termasuk agensi-agensi kerajaan, NGO dan masyarakat secara keseluruhannya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI