fbpx

Dahulu saya jahil – Amar Bahrin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AMAR BAHRIN

BUKAN mudah untuk tiba-tiba melangkah keluar begitu sahaja dari gelanggang seni yang sudah sebati dengan diri. Perkara tersebut diakui pelakon Amar Baharin yang semakin hari, semakin mendekatkan diri dengan agama.

Kata pemilik nama sebenar, Amar Mohd. Baharin itu, akan tiba waktunya dia meletakkan titik noktah kepada bidang lakonan yang selama ini menjadi sumber pendapatan utamanya.

“Berlakon ini banyak ‘tabunya’. Sebagai contoh, orang sentiasa mempertikaikan halal haram berpegangan tangan antara lelaki perempuan bukan mahram.

“Saya tahu perkara itu kalau ikut agama berdosa. Melainkan saya rasa sudah rasa sampai waktunya saya nak bersara daripada bidang ini. Saya pun tak tahu bila.

“Berlakon tetap berlakon. Pucuk pangkal ialah niat kita. Kalau ada adegan berlebihan yang boleh mengelakkan daripada berpegangan atau bersentuhan dengan pelakon wanita, saya akan cakap dengan pengarah,” kata bapa kepada dua orang cahaya mata itu ketika ditemui HibGLam pada satu sesi fotografi di ibu pejabat Media Mulia baru-baru ini.

SELAIN banyak muhasabah diri dengan menghafaz al-Quran, Amar juga banyak menghabiskan masa ‘membesarkan’ fizikal dengan melakukan aktiviti senaman angkat berat.

Selalu tinggal solat

Merancakkan bicara, Amar mengakui pernah terlalu hanyut dengan dunia seni sehinggalah virus Covid-19 melanda dunia, sekali gus memberi kesedaran kepada dirinya untuk mendekatkan diri dengan agama.

Katanya, Covid-19 tetap ada hikmah tersendiri. Buat dirinya secara peribadi, dia dapat meluangkan masa melakukan perkara yang tidak sempat dikerjakan selama ini kerana terlalu sibuk mengejar dunia.

“Ada hikmahnya Covid-19 melanda dunia. Selama ini saya terlalu kejar dunia. Solat selalu tinggal sebab sibuk dengan kerja. Amalan lain jangan ceritalah. Memang ke laut.

“Sekarang ini, tinggal solat rasa berdosa besar sangat. Lambat sikit tunaikan solat rasa tak senang duduk. Insya-Allah, saya harap dapat istiqamah begini sampai saya mati,” katanya.

Dilihat semakin kerap berkongsi hantaran video menghafaz al-Quran, suami kepada aktres Amyra Rosli itu bagaimanapun memberitahu, dia malu untuk mengakui perubahan yang
sedang dilaluinya sebagai satu hijrah.

“Ada orang, dua tiga hari sertai aktiviti tabligh, terus kata diri sudah berhijrah, pakai serban dan sebagainya. Tetapi, itu semua terpulang.

“Kadang-kadang, saya malu untuk mengaku apa yang sedang berlaku dalam hidup sekarang sebagai satu hijrah. Saya hanya nak jadi manusia yang lebih baik dan semoga Allah tetapkan iman saya.

“Semakin saya berusia, semakin saya sedar bahawa dunia ini hanya sementara. Duit banyak-banyak, kereta dan rumah besar, semua itu tak bawa mati pun.” luahnya.

Foto SHIDDIEQIIN ZON Sut WARDROBE (@wardrobe.privato) Solekan & Tatarias VIEALEXENDDRA (@QUEENXENDDRA_)

Dahulu jahil, kini hafal Al-Mulk

Menjawab tentang tohmahan sesetengah netizen yang menganggap perubahan yang dilalui hanya bersifat sementara, dia tidak melenting.

Dengan rendah diri, Amar sebaliknya mengakui suatu ketika dahulu, dia pernah jahil soal agama.

“Saya pernah jahil sebab tiada ilmu dan saya tidak terbuka hati untuk cari. Sekarang ada ustaz dan pun boleh belajar dalam internet.

“Alhamdulillah, saya amalkan baca surah Al-Mulk setiap malam sebelum tidur, sekarang saya sudah hafal surah tersebut.

“Kehidupan ini merupakan suatu proses. Setiap hari kita berharap agar menjadi lebih baik dari semalam. Saya percaya banyak ruang yang boleh diperbaiki sebagai seorang Muslim. Perlahan-lahan kita bergerak ke arah yang diredai Allah SWT,” tuturnya.

AMAR percaya rezeki Allah datang dalam bermacam-macam bentuk. Biarpun sudah berkeluarga, Amar tetap yakin masih ada tempat buatnya dalam industri lakonan.

Bukan mahu ‘acah-acah baik’ secara drastik apatah lagi menunjuk-nunjuk tentang perubahan diri, Amar sekadar mencari keseimbangan antara duniawi dan ukhrawi.

“Saya ingat kata-kata seorang ustaz, kalau kita terlalu kejar dunia, akhirat akan tercicir tetapi kalau kita kejar akhirat, insya-Allah dunia juga kita dapat.

“Kita pun tak tahu bila kita akan mati. Kalaulah tengah bawa kereta tiba-tiba batu besar jatuh daripada projek MRT jatuh kena kepala, mati begitu sahaja

“Kalau mati tengah mengaji, sedaplah juga,” kata Amar secara berseloroh namun terselit sedikit keseriusan ketika membutirkan ayat berkenaan.

Kerjaya lakonan sudah seperti menjadi darah daging dalam dirinya dan akui Amar, dengan pendapatan hasil bidang itulah dia mampu berkeluarga, memberi wang saku kepada isteri dan anak-anak.

“Berlakon pegang sana-sini untuk menjayakan sesuatu karakter memang berdosa. Biarlah saya tanggung tetapi saya juga percaya pintu taubat Allah sentiasa terbuka untuk saya, anda dan semua orang,” kata Amar menggulung perbualan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI