SUBANG JAYA – Akibat berdendam kerana sering dibuli, seorang pemuda sanggup membunuh rakan serumahnya sendiri dalam kejadian di sebuah pangsapuri di Jalan Kemajuan di sini kelmarin.
Suspek dengan bantuan rakan subahatnya kemudian tergamak bertindak kejam dengan menyumbat mayat mangsa ke dalam sebuah tong sampah sebelum ditinggalkan di tepi jalan.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Abd. Khalid Othman berkata, kejadian disedari oleh ibu saudara mangsa berusia 60 tahun selepas gagal menghubungi lelaki itu yang bekerja sebagai tukang masak di sebuah restoran di SS19 di sini.
“Mangsa yang berusia 20 tahun mempunyai rutin harian menghubungi ibu saudaranya itu setiap hari selepas tamat bekerja namun apabila tidak menerima panggilan hari itu dan gagal menghubungi mangsa, wanita berkenaan mula berasa curiga dan membuat laporan polis.
“Susulan laporan yang diterima, pihak polis telah pergi ke rumah mangsa dan mendapati ia berada dalam keadaan berselerak selain turut menemui kesan darah di dalam tandas namun kelibat mangsa tidak ditemui,” katanya pada satu sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya di sini hari ini.
Menurut Abd. Khalid, semakan rakaman televiyen litar tertutup (CCTV) mendapati pada 18 April lalu kira-kira pukul 12 tengah malam, tiga lelaki telah memasuki rumah berkenaan sebelum mangsa pulang 30 minit kemudian.
“Kira-kira satu jam kemudian pula, tiga lelaki berkenaan keluar dari rumah dengan membawa sebuah tong sampah berwarna hitam dan keluar dari kawasan apartment berkenaan.
“Pada keesokan harinya kira-kira pukul 12.35 tengah hari pihak polis telah menemui dokumen peribadi dan dompet milik mangsa di bawah jejambat di SS16/1 iaitu kira-kira 1.5 kilometer dari lokasi kejadian.
“Tidak lama kemudian, sebuah tong sampah berwarna hitam telah ditemui di tepi jalan dekat susur keluar Persiaran Kewajipan dan pemeriksaan lanjut telah menemui sebuah beg hitam yang kemudiannya disahkan mengandungi mayat manusia,” katanya.
Abd. Khalid berkata, siasatan awal mendapati, salah seorang daripada tiga individu yang dilihat memasuki rumah berkenaan adalah rakan serumah mangsa yang juga merupakan suspek utama kejadian.
“Suspek utama ini didapati tidak berpuas hati dan mendakwa sering dibuli oleh mangsa ketika bekerja sebagai tukang cuci di restoran yang sama selain sering ditegur oleh lelaki berkenaan setelah pulang ke rumah.
“Siasatan mendapati, suspek dan dua lagi rakannya telah menunggu sehingga mangsa masuk ke dalam rumah sebelum menjerut lehernya dengan kabel elektrik dan mengheret lelaki berkenaan ke dalam tandas sebelum dia ditikam dan lehernya dikelar,” jelas beliau.
Tambah beliau, kesemua suspek kemudiannya menyumbat mayat mangsa ke dalam sebuah beg berwarna hitam, membalutnya dengan plastik sampah sebelum dimasukkan ke dalam tong sampah lalu dibuang ke tepi jalan.
“Pihak polis kemudiannya berjaya menahan suspek pertama berusia 25 tahun di Kajang, Selangor semalam kira-kira pukul 4 petang, suspek kedua yang juga suspek utama ditahan pada pukul 5.50 petang di Port Dickson, Negeri Sembilan.
“Suspek ketiga dan keempat pula ditahan pada pukul 10 dan 10.30 malam hari yang sama di sekitar ibu negara dan ujian air kencing yang dilakukan mendapati kesemua mereka negatif dadah,” ujarnya.
Tambah Abd. Khalid, suspek pertama direman empat hari hingga 23 April manakala tiga lagi suspek termasuk suspek utama direman sehingga 26 April bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” tegas beliau. – K! ONLINE