MANILA – Seramai 13 orang termasuk kanak-kanak terkorban di utara Filipina apabila kenderaan utiliti sukan (SUV) dinaiki mereka terjunam ke dalam sebuah tali air, mengakibatkan kebanyakan penumpang mati lemas, kata polis hari ini.
Ketua Polis Filipina, Jeneral Debold Sinas mengarahkan supaya kemalangan di wilayah Kalinga di siasat dan meminta unit peronda lebuh raya dan polis tempatan menguatkuasakan undang-undang melarang muatan berlebihan.
SUV jenis Ford Everest itu sarat dengan 15 orang apabila kenderaan tersebut tergelincir dan jatuh ke dalam tali air lalu tenggelam di bandar Tabuk sekitar pukul 6.15 petang (waktu tempatan), demikian menurut kenyataan polis hari ini.
Mangsa termasuk tujuh kanak-kanak lemas di dalam SUV tersebut.Dua mangsa yang terselamat berada dalam keadaan stabil.
Kemalangan maut biasa berlaku di Filipina di mana pemandu kerap melanggar undang-undang trafik raya manakala banyak jalan raya berada dalam keadaan daif. – AFP