HAWAII – Pemain golf sensasi New Zealand, Lydia Ko berjaya menamatkan kemarau kejuaraan Siri Jelajah LPGA yang sudah ditunggu hampir tiga tahun apabila menjuarai Kejuaraan Lotte di Lapangan Golf Antarabangsa Kapolei, Hawaii awal pagi semalam.
Pada aksi tersebut, Lydia yang pernah menjuarai kejuaraan bertaraf major sebanyak dua kali dalam kariernya tidak mempunyai masalah menewaskan pesaing terdekat, Park In-bee, Kim Sei-young, Leona Maguire dan Nelly Korda.
Kata Lydia, prestasi cemerlang yang ditampil sepanjang Kejohanan Lotte ini berjaya dilakukan selepas mengambil inspirasi daripada kejayaan dua pemain golf lelaki dunia, Jordan Spieth dan Hideki Matsuyama yang berjaya menjulang trofi baru-baru ini.
“Spieth dan Matsuyama masih segar dengan kejuaraan yang dimenangi baru-baru ini dan ia memberi inspirasi cukup besar buat saya kerana mereka juga sudah lama tidak memenangi sebarang gelaran.
“Justeru, kemenangan yang saya raih kali ini cukup istimewa kerana bukan mudah untuk menewaskan pemain-pemain wanita elit dunia seperi In-bee, Sei-young dan Norda yang sebelum ini mempamerkan aksi cukup konsisten,” kata pemain berusia 24 tahun itu.
Mengulas lanjut, bekas pemain No. 1 dunia itu turut berterima kasih kepada jurulatih peribadinya, Sean Foley yang tidak pernah berhenti membantunya meningkatkan prestasi tidak kira dari aspek mental dan fizikal.
“Saya sangat berbangga kerana sepanjang tiga tahun tanpa kejuaraan, banyak kritikan yang dilemparkan. Namun, Foley merupakan individu yang paling rapat dengan saya dan sentiasa menaikkan semangat dan motivasi bahawa karier saya masih di landasan yang tepat,” katanya. – AGENSI