KETIKA berusia lima tahun lagi, bapanya, Mohd. Rizal Ismail, 49 sudah mula mengesan masalah pendengaran yang dihadapi.
Bagaimanapun, selepas mendapatkan rawatan selama beberapa tahun, masalah itu masih membelenggu Nurul Afifah Mohd. Rizal.
Dek kekurangan yang ada pada diri gadis manis berusia 18 tahun itu juga, dia sering menjadi mangsa buli di sekolah.
Biarpun pelbagai usaha dilakukan dan keluarga melaporkan situasi dilaluinya kepada pihak sekolah dan jabatan pendidikan, namun gadis yang mesra dipanggil Pipo ini masih lagi dibuli.
Lantaran itu ketika menuntut di tingkatan dua, Pipo nekad untuk berhenti sekolah. Sebagai bapa, Mohd. Rizal akui bimbang dan mula bertanyakan kepada Pipo apa yang ingin dilakukannya jika berhenti sekolah.
Berhasrat mahu duduk di rumah dan melukis, Mohd. Rizal kemudian membelikannya peralatan untuk melukis. Tambahan pula bapanya menyedari Pipo memiliki bakat melukis sejak di tadika apabila sering mendapat tempat pertama dalam setiap pertandingan disertainya.
Bermula dengan hanya melukis lukisan biasa seperti gambar haiwan dan bangunan, bakat lukisannya semakin menyerlah apabila berjaya menghasilkan karya-karya hebat dan dibeli orang ramai.
Kejayaan yang digapai gadis itu membuka mata bahawa orang kelainan upaya juga mampu berjaya dan pergi jauh sama seperti insan lain biarpun pernah berhadapan situasi sukar ketika kecil.
“Saya tidak pernah mendapat bimbingan daripada mana-mana kelas melukis sejak berkecimpung dalam bidang ini. Sebaliknya, ia diteroka sendiri.
“Sejak berhenti sekolah, saya banyak melukis dengan cara doodle menggunakan pen berdakwat seperti gel.
“Seorang rakan yang merupakan doktor di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah, Dr. Mohamad Akmal Mohamad kemudian memperkenalkan saya kepada fountain pen. Sejak itu saya mula melukis menggunakan pen berkenaan,” katanya.
Menjadikan artis pemenang anugerah bagi pemuliharaan hidupan liar, Christine Das sebagai idola, akui Pipo, wanita yang merupakan pelukis pertama ditemuinya sepanjang berkecimpung dalam dunia itu merupakan pembakar semangat buatnya untuk terus melukis sehingga ke hari ini.
Gemar melukis doodle kartun, bangunan, daun-daun, haiwan dan berbentuk seni halus, lukisan dihasilkan berjaya menarik perhatian kerabat Diraja Kedah.
Menceritakan semula detik-detik itu, menurut Pipo, pada waktu itu, dia dijemput untuk mengadakan pameran semasa perasmian School of Creative Industry Management & Performing Arts yang dirasmikan oleh Tunku Laksamana Kedah, Datuk Tunku Shazuddin Ariff Ibni Sultan Sallehuddin di Universiti Utara Malaysia, Sintok pada tahun 2019.
“Bermula daripada situlah, Tunku berminat untuk mendapatkan hasil lukisan saya. Begitupun, pada mulanya pihak kerabat hanya memilih karya sedia ada sebanyak sembilan keping.
“Kemudian pihak istana membuat tempahan baharu iaitu bangunan bersejarah di negeri Kedah sebanyak 12 keping lagi. Bagaimanapun, saya baru sempat menyiapkan lima keping sahaja kerana setiap satu lukisan mengambil masa hampir satu ke dua bulan untuk disiapkan,” katanya.
Pipo kini mempunyai galeri sendiri bersama bapanya di rumah mereka di Jitra iaitu Rizalis & Pipoonye Art Galery, mengimpikan untuk mempunyai studio melukis sendiri satu hari nanti.
Sebelum mengakhiri bicara, Pipo sempat menitipkan sedikit pesanan buat anak-anak kelainan upaya di luar sana.
“Kita jangan dengar apa orang kata pada kita. Kita terus jadi diri kita dan teruskan minat serta carilah kelainan dalam diri supaya berbeza daripada orang lain dalam berkarya,” tuturnya.