KUANTAN – Seorang pengurus syarikat di sini mengalami kerugian RM512,000 selepas tidak menerima permit kebenaran (AP) eksport bauksit seperti dijanjikan suspek.
Kejadian bermula pada 2017 apabila mangsa yang berusia 52 tahun bersama tiga rakan kongsinya menemui suspek untuk urusan membeli AP eksport bauksit tersebut.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd. Wazir Mohd. Yusof berkata, mereka akhirnya bersetuju membeli AP tersebut pada harga RM450,000 setelah berbincang dengan suspek.
Ujar beliau lagi, suspek seterusnya meminta mangsa membayar yuran guaman sebanyak RM10,000 secara tunai pada April 2017.
“Bermula dengan itu, suspek meminta pula bayaran tunai RM3,000 untuk tujuan memperbaharui permit AP, diikuti RM20,000 bagi bayaran royalti bauksit.
“Suspek sekali lagi meminta bayaran RM6,000 untuk memperbaharui permit pada Ogos 2017,” ujar Mohd. Wazir menerusi kenyataan hari ini.
Mohd. Wazir menambah, mangsa masih tidak menerima sebarang permit untuk mengeksport bauksit walaupun telah melakukan pembayaran seperti diarahkan.
“Mangsa berasa ditipu dan tampil membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan (semalam). Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya. -K! ONLINE