PETALING JAYA – Seramai 1,144,841 penduduk negara ini telah menerima suntikan pertama dan kedua vaksin Covid-19 sehingga semalam.
Menurut Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF), daripada jumlah itu, 701,812 individu telah menerima suntikan pertama vaksin manakala 443,029 individu selesai disuntik kedua-dua dos.
Selangor menjadi negeri terbanyak penerima kedua-dua dos vaksin tersebut iaitu seramai 63,166 individu, diikuti Perak (48,822), Sabah (43,304), Kuala Lumpur (38,642) dan Sarawak (34,590).
Sementara itu, seramai 8,992,832 individu ataupun 37.1 peratus warganegara telah mendaftar untuk mendapatkan suntikan vaksin Covid-19.
Putrajaya mencatatkan peratusan tertinggi pendaftaran iaitu sebanyak 97.8 peratus, Selangor (48.8 peratus), Kuala Lumpur (48.7 peratus), Pulau Pinang (45 peratus) dan Negeri Sembilan (44.1 peratus).
Dalam pada itu, Sabah menjadi negeri tersikit menerima pendaftaran vaksin Covid-19 iaitu sebanyak 14.6 peratus, diikuti Kelantan (24.4 peratus), Pahang (29.8 peratus), Terengganu (30.5 peratus) dan Kedah (31.5 peratus). – K! ONLINE