fbpx

Kejadian ribut petir kuat bukan perkara baharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) memaklumkan kejadian ribut petir yang kuat kebelakangan ini bukanlah perkara baharu.

METMalaysia dalam kenyataan berkata, hampir 80 peratus kejadian angin ribut terkuat direkodkan berlaku sebelum tahun 2000.

“Oleh itu, adalah kurang tepat untuk mengatakan bahawa ribut petir yang berlaku baru-baru ini adalah disebabkan oleh perubahan iklim sahaja.

“Hal itu kerana terdapat banyak faktor lain yang boleh mempengaruhi kejadian tersebut seperti perubahan topografi, kesan pulau haba (urban heat island) dan keragaman iklim,” katanya di sini hari ini.

Katanya, METMalaysia tidak pernah menafikan kesan perubahan iklim yang telah berlaku di Malaysia.

“Berdasarkan analisis, secara purata suhu di Semenanjung Malaysia telah meningkat kira-kira 2.4 darjah selsius dalam tempoh 100 tahun manakala di Sabah meningkat sebanyak 1.8 darjah selsius dan Sarawak mencatatkan kenaikan suhu 1.3 darjah selsius dalam tempoh sama.

“Selain itu, didapati 17 dari 20 suhu purata tertinggi bagi negara ini telah direkodkan selepas tahun 2000,” ujarnya.

Bagaimanapun katanya, kajian juga mendapati suhu yang tinggi di negara ini juga berkait rapat dengan kejadian fenomena El-Nino yang kuat (sebahagian fenomena yang dikategorikan sebagai keragaman iklim).

“Malah, rekod suhu tertinggi negara iaitu 40.1 darjah selsius telah direkodkan pada tahun 1998. Perkara ini memang telah diketahui umum kerana sering dilaporkan oleh jabatan.

“Untuk makluman, kejadian cuaca ekstrem seperti bahaya ribut petir semasa peralihan monsun sentiasa dimaklumkan dari semasa ke semasa kepada orang ramai seperti melalui penyampai cuaca di televisyen dan siaran media serta infografik yang dihebahkan melalui media sosial rasmi Jabatan,” tambahnya.

Kenyataan tersebut dikeluarkan bagi mengulas laporan sebuah media tempatan yang mengatakan kejadian ribut baru-baru ini adalah tidak normal di ruangan perubahan iklim akhbar tersebut hari ini. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI