PUTRAJAYA – Kadar agihan vaksinasi Covid-19 Malaysia kini berada di landasan tepat dan tidak jauh terkebelakang berbanding negara-negara Asean yang lain.
Berdasarkan data diterima, Malaysia berada di kedudukan keempat di belakang Singapura, Indonesia dan Kemboja dari segi kadar vaksinasi Covid-19.
Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, ia sekali gus menafikan dakwaan bahawa Malaysia dilihat lambat bertindak dari segi agihan vaksin.
“Saya faham kegusaran rakyat yang sudah daftar awal PICK tapi masih menunggu giliran. Semua perlu faham bahawa kita kena tunggu fasa kita terlibat.
“Bagi orang muda yang tiada apa-apa penyakit, mereka tetap kena ikut fasa ditetapkan justeru, saya harap rakyat memahami perkara ini,” katanya pada sidang akhbar perkembangan PICK, hari ini.
Dalam pada itu, Khairy Jamaluddin berkata, Malaysia dijadualkan menerima lebih 2.25 juta dos vaksin Pfizer-BioNTech dan Sinovac, mulai bulan ini dan Mei depan.
Menurutnya, bekalan itu bagi menampung pelaksanaan fasa kedua PICK yang bermula secara rasmi, hari ini.
“Bekalan pertama dijadualkan tiba pada Rabu ini membabitkan sejumlah 128,700 dos, diikuti 36,270 dos (Khamis) dan 12,870 dos (Jumaat),” katanya.-K! ONLINE