KOTA BHARU – Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) bercadang untuk membuka sebuah lagi Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) selepas lima daripada enam pusat di negeri ini hampir penuh.
Pengarahnya, Datuk Dr. Zaini Hussin, berkata, lima PKRC yang sedia ada sudah mencecah bilangan pesakit 79 hingga 103 peratus daripada kapasiti asal.
Katanya, sebuah PKRC yang baharu dibuka iaitu di khemah Madinah Ramadan, Dataran Warisan di Stadium Sultan Muhammad IV di sini sejak beberapa hari lalu sudah mencecah 33 peratus bilangan pesakit.
“Penggunaan katil di hospital dan enam PKRC di Kelantan hampir penuh susulan peningkatan kes Covid-19 sejak kebelakangan ini.
“Sehubungan dengan itu, JKNK bercadang untuk membuka satu lagi PKRC dalam masa terdekat iaitu Dewan Jabatan Belia, Panji di sini,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Mengulas lanjut, menurut Zaini, sekiranya kes masih meningkat, pesakit yang dijangkiti Covid-19 terpaksa diasingkan di rumah masing-masing.
Sementara itu, ujarnya, berdasarkan data JKNK, terdapat banyak jangkitan dalam kluster tertemtu dilaporkan berlaku di tempat kerja, sekolah dan masjid semasa kelas pengajian serta mesyuarat.
Katanya, sebanyak 23 peratus kes Covid-19 di Kelantan dikesan melalui saringan bergejala dan tidak bergejala selain dari zon merah yang tiada kaitan epidemiologi.
“Setakat ini, Kelantan terus mencatatkan kadar kebolehjangkitan (RT) harian tertinggi di negara ini iaitu pada 1.43 setakat semalam berbanding RT nasional 1.16,” katanya.
Terdahulu, Kelantan mencatatkan sebanyak 290 kes hari ini dengan tiga kluster baharu direkodkan sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan kes sebanyak 8,738 kes. – K! ONLINE