SEBERANG PERAI – Enam individu kerugian sebanyak RM59,485 selepas menyertai satu skim pelaburan dipercayai tidak wujud di Kepala Batas di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, keenam-enam individu yang berusia di antara 20-an sehingga 30-an telah membuat pelaburan melalui sebuah syarikat yang sama.
Katanya, semua mangsa dijanjikan keuntungan pulangan wang berganda daripada jumlah modal yang diberikan dengan setiap urus niaga hanya dijalankan menerusi aplikasi Whatsapp tanpa sebarang dokumen perjanjian.
“Pada awal pelaburan, mangsa akan memberikan modal dalam jumlah yang kecil sebelum menerima pulangan sebanyak tiga kali ganda.
“Mangsa yang percaya dengan pulangan tinggi yang diperolehi kemudiannya melabur menggunakan modal yang lebih besar.
“Walau bagaimanapun, masing-masing tidak menerima sebarang pulangan yang dijanjikan selepas pelaburan seterusnya dibuat,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – K! ONLINE