MERSING – Dua vessel penangkapan ikan zon A ditahan ketika menjalankan aktiviti menangkap ikan dalam kawasan Taman Laut di Pantai Pulau Aur, Mersing, Johor di sini awal pagi hari ini.
Pengarah Perikanan Negeri Johor, Noraishah Hashim berkata, tangkapan itu dilakukan ketika rondaan rutin pemantauan vessel pantai timur yang dijalankan di perairan Johor Timur oleh Cawangan Taman Laut dan Pengurusan Sumber, Jabatan Perikanan Negeri Johor.
Katanya, adalah menjadi kesalahan di bawah Seksyen 43, Akta Perikanan 1985 mengambil, mengalih atau memiliki haiwan akuatik dalam kawasan Taman Laut.
“Hasil pemeriksaan dan siasatan mendapati dua vessel penangkapan ikan zon A yang membawa pemancing tempatan itu telah menjalankan aktiviti menangkap ikan dalam kawasan taman laut.
“Vessel pertama yang ditahan sekitar pukul 3 pagi di 0.5 batu nautika daripada Pantai Pulau Aur dikendalikan seorang tekong berumur 62 tahun dan enam pemancing tempatan berumur sekitar 49 tahun sehingga 75 tahun
“Manakala vessel kedua ditahan 0.6 batu nautika daripada Pantai Pulau Aur terdiri seorang tekong berumur 56 tahun, seorang awak-awak berusia 48 tahun dan enam pemancing berumur 34 tahun sehingga 58 tahun,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Noraishah berkata, kedua-dua vessel ditahan bersama peralatan menangkap ikan dan akan disiasat di bawah seksyen 43 (1), Akta Perikanan 1985.-K! ONLINE