LONDON – Chelsea berjaya memastikan tempat ke pentas final Piala FA selepas menundukkan Manchester City 1-0 pada perlawanan separuh akhir di Stadium Wembley awal pagi semalam.
Jaringan tunggal Hakim Ziyech pada minit ke-55 sudah cukup untuk memastikan skuad kendalian Thomas Tuchel itu melangkah ke perlawanan akhir Piala FA buat kali ke-15.
Tuchel mengakui beliau sangat gembira dengan kemenangan itu lebih-lebih lagi berjaya menewaskan City yang dianggap antara pasukan terbaik Eropah.
“Apabila anda berdepan Pep (Guardiola), anda perlu berada pada tahap terbaik kerana mereka berada sebaris dengan Barcelona dan Bayern Munich ketika ini.
“Saya meminta semua pemain agar menutup segala ruang buat pemain City kerana mereka mampu memanfaatkan setiap peluang yang terhidang,” kata bekas pengendali Borussia Dortmund itu.
Justeru, beliau menggesa barisan pemainnya supaya mengekalkan rentak tersebut menjelang perlawanan seterusnya menentang Brighton pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) awal pagi Rabu nanti.
“Saya sangat gembira dengan prestasi semua pemain pada hari ini (semalam). Oleh itu, saya harap mereka kekalkan prestasi seperti ini menjelang perlawanan akan datang,” ujarnya. – AGENSI