PETALING JAYA – Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menyarankan kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) agar aktiviti perniagaan di sesebuah Bazar Ramadan dihentikan sekiranya didapati gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP).
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, PDRM mengambil serius peningkatan kes-kes baharu Covid-19 sejak empat hari yang lalu dan usaha untuk mengekang penularan virus berkenaan telah diperketatkan.
“Ketua-ketua polis daerah dan pasukan pemantau pematuhan SOP akan digerakkan ke semua lokasi bazar Ramadan.
“Sekiranya didapati terdapat sebarang kegagalan dalam mematuhi SOP, saranan untuk menghentikan segala aktiviti perniagaan di kawasan-kawasan tersebut akan dihentikan,” katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.
Dalam pada itu, Acryl Sani menegaskan bahawa PDRM juga hanya akan membenarkan pergerakan rentas negeri dibuat bagi tujuan-tujuan tertentu yang telah ditetapkan sahaja.
“Pergerakan rentas negeri hanya dibenarkan bagi tujuan pekerjaan, kecemasan, perubatan, pendidikan serta bagi pasangan jarak jauh dan kematian yang hanya melibatkan ahli keluarga terdekat iaitu ibu bapa, anak dan adik beradik sahaja.
“Sekiranya permohonan pergerakan diluluskan pula, ia hanya dibenarkan pada hari Isnin hingga Khamis sahaja manakala pergerakan pada hujung minggu iaitu bermula Jumaat sehingga Ahad tidak akan diluluskan namun ia tidak termasuk urusan melibatkan kecemasan, kematian dan pasangan jarak jauh,” katanya.
Tambah beliau, pergerakan rentas negeri bagi tujuan sosial seperti menghadiri kenduri perkahwinan dan apa-apa jenis majlis serta jamuan pula adalah dilarang sama sekali.
“Aturan ini akan berterusan sehingga selepas Hari Raya Aidilfitri dan tindakan tegas akan dikenakan ke atas mana-mana pihak yang ingkar,” tegas beliau. – K! ONLINE