JOHOR BAHRU – Seorang bayi berusia 26 hari melecur pada tahap kedua pada bahagian belakang badan akibat kecuaian kakitangan sebuah pusat penjagaan bayi dan ibu berpantang di Jalan Sutera, Taman Sentosa di sini.
Kejadian itu dialami seorang ibu, Tan Xin Ping, 25, ketika mengambil pakej berpantang di pusat jagaan itu ketika bayi sulung yang baru dilahirkan pada 26 Oktober tahun lalu.
Menurut Xin Ping, ketika kejadian dia berada di sebuah bilik di pusat jagaan itu sebelum dia dimaklumkan seorang pengasuh bayi lelakinya melecur pada bahagian belakang.
“Saya mengambil pakej berpantang selama 30 hari di pusat jagaan itu dengan harga RM7,733. Pada hari ke-26, saya berada di bilik tiba-tiba seorang pengasuh datang beri tahu anak saya melecur pada bahagian belakang.
“Bila saya tanya dia cakap tidak tahu, saya terus hubungi suami dan kami terus bawa ke hospital swasta untuk rawatan lanjut,”katanya ketika ditemui di Pejabat MCA, Pasir Gudang di sini hari ini.
Xin Ping berkata, selepas dirawat pihak hospital memaklumkan bayinya melecur akibat terkena air panas dan pihak hospital turut mencadangkan supaya membuat satu laporan polis.
Katanya, dia membuat satu laporan polis berhubung kecuaian pusat jagaan itu di Balai Polis Larkin pada pukul 8.57 malam hari sama kejadian (21 November 2020).
“Saya kami desak mereka baru salah seorang kakitangan mengaku yang anak saya terkena air panas ketika mereka memandikannya.
“Saya terkejut dan kecewa selepas dua jam anak saya kena baru mereka beritahu, masa itu bayi saya tak ada suara dah menangis,”katanya.
Susulan kejadian itu, pihak pengurusan pusat jagaan itu mengakui kesilapan mereka dan berjanji untuk membayar pampasan RM45,000 selama setahun secara ansuran.
Xin Ping berkata, mereka juga berjanji akan membayar balik caj pakej berpantang serta bil hospital sebanyak RM4,000.
“Mereka ajak berbincang dengan saya dan suami (Oon Yew Hao, 32) untuk ‘settle tepi’ (selesaikan cara baik) supaya tidak memanjangkan kes.
“Kami bersetuju dengan cadangan mereka untuk membayar pampasan sebanyak RM3,000 sebulan selama setahun. Tetapi kami terima bayaran hanya sebulan dan ‘refund’ dan bil hospital sebanyak RM14,733,”katanya.
Namun pasangan suami isteri itu kesal apabila pusat jagaan itu memberi seribu alasan untuk mengelak daripada melunaskan janji yang sudah dibuat termasuk perjanjian bertulis.
Xin Ping berkata, dia dan suaminya berhasrat untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pusat jagaan itu selepas dilihat soalah-olah lepas tangan dan tidak mahu bertanggungjawab. -K! ONLINE