PETALING JAYA – Penyanyi dan juga komposer Altimet berkongsi kaedah yang digunakannya untuk menarik minat anak-anak menjalani ibadah puasa dan solat tarawih sepanjang bulan Ramadan.
Menerusi satu hantaran yang dimuat naik dalam Instagram, Altimet atau nama sebenarnya Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Alhadad, 42, memuat naik foto sebuah bakul penuh berisi makanan ringan sebagai ganjaran untuk anak-anaknya.
“Ha! Inilah dia bakul Ganjaran Ramadan. Mana anak baba yang puasa, solat tarawih lengkap, dapat ambil satu barang (makanan ringan) dari bakul ini setiap hari,” katanya.
Ujar pelantun lagu Amboi itu lagi, dia beranggapan pemikiran kanak-kanak tidak sama seperti orang dewasa yang berfikiran jauh untuk mengumpul pahala ketia Ramadan.
“Anak-anak ini bukan macam kita, boleh fikir jauh untuk kumpul pahala,” katanya.
Tulis penyanyi itu lagi, apa yang dia lakukan itu adalah untuk memberi sedikit motivasi kepada anak-anaknya untuk menjalani ibadah puasa.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata pengikutnya dalam Instagram bersetuju dengan kaedah yang dibuat oleh Altimet untuk ‘memancing’ minat kanak-kanak supaya berpuasa dan beribadah ketika Ramadan.
Malah, ada dalam kalangan pengikutnya berpendapat tindakan Altimet itu sebagai idea yang bernas dan baik.
“Idea yang baik!” kata seorang pengguna Instagram.
Terdahulu, Altimet menerusi satu pendedahan kepada media mengakui bahawa dia telah mendirikan rumah tangga sejak 16 tahun lalu dan dikurniakan tiga orang cahaya mata. – K! ONLINE