fbpx

Agong zahir ucapan tahniah atas kejayaan dua pelajar dalam peperiksaan ACCA

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kejayaan kedua-dua pelajar ini sekali lagi membuktikan bahawa Malaysia mampu melahirkan individu yang berkualiti, berwibawa dan bertaraf antarabangsa.

PETALING JAYA – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan tahniah kepada dua pelajar Malaysia kerana berjaya menempatkan diri di antara 10 teratas dalam peperiksaan Persatuan Akauntan Bertauliah (ACCA).

Menurut kenyataan dikeluarkan Istana Negara di laman Facebook, Al-Sultan Abdullah menzahirkan rasa sukacita dan bangga atas pencapaian cemerlang Nurul Fatin Nabihah Hamdan dan Siti Naziah Mohamad Nazid yang sekali gus mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa.

Seri Paduka Baginda turut menzahirkan rasa kagum di atas kesungguhan dan semangat perjuangan tinggi yang dipamerkan oleh kedua-dua pelajar ini dalam menghadapi dugaan dan kekurangan bagi mengejar cita-cita mereka.

“Kejayaan kedua-dua pelajar ini sekali lagi membuktikan bahawa Malaysia mampu melahirkan individu yang berkualiti, berwibawa dan bertaraf antarabangsa.

“Kejayaan ini turut membuktikan bahawa dengan iltizam dan bantuan serta bimbingan, pelajar-pelajar dari golongan B40 dan asnaf mampu berjaya dengan cemerlang di peringkat global sekiranya diberi peluang,” titah Baginda di sini hari ini.

Menurut kenyataan itu, Al-Sultan Abdullah menzahirkan harapan semoga kejayaan mereka berdua menjadi sumber inspirasi kepada seluruh rakyat Malaysia, khususnya para belia, untuk bekerja keras dan berusaha mencapai kejayaan di dalam bidang masing-masing.

Seri Paduka Baginda turut mendoakan semoga kedua-dua pelajar tersebut dilimpahi kejayaan cemerlang berterusan dan terus mengharumkan nama Malaysia di persada antarabangsa di masa hadapan.

Nurul Fatin Nabihah, pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) tajaan Yayasan Sime Darby berjaya mendapat tempat pertama di Malaysia dan ketujuh di dunia bagi kertas Strategic Business Reporting (SBR).

Anak sulung daripada empat beradik itu kehilangan bapa pada usia 11 tahun dan kemudiannya dibesarkan oleh bapa tirinya yang bekerja sebagai petani, sementara ibunya merupakan seorang suri rumah tangga.

Mengikuti pembelajaran dalam talian sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Fatin juga berjaya lulus di dalam satu lagi kertas yang diambilnya iaitu Advanced Taxation (ATX).

Seemnetara itu Siti Naziah, pelajar tajaan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak pula, berjaya mendapat tempat pertama di Malaysia dan tempat kesembilan di dunia bagi kertas Audit & Assurance (AA).

Naziah, anak sulung daripada dua beradik, menghadapi cabaran yang getir kerana kehilangan ayah pada 2018 akibat kanser. Ketika itu, beliau sedang sibuk dengan persiapan untuk menghadapi peperiksaan CAT.

Pelajar-pelajar di bawah seliaan Malaysia Professional Accountancy Centre (MyPAC) itu merupakan antara 92,000 orang calon dari serata dunia yang menduduki peperiksaan tersebut pada sesi Mac 2021. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI