PETALING JAYA – Seramai 196 individu telah ditahan atas kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP) menerusi operasi pematuhan yang diketuai Polis Diraja Malaysia
(PDRM) di seluruh negeri, semalam.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu, seramai 191 individu dikenakan kompaun manakala lima lagi direman.
“Menerusi operasi berkenaan, sebanyak 65,634 pemeriksaan telah dilaksanakan pihak PDRM bagi memantau dan menguatkuasakan pematuhan SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Antara kesalahan yang direkodkan ialah tiada penjarakan fizikal (119), tidak memakai pelitup muka (21), gagal merekod butiran diri/daftar masuk premis (15), aktiviti pusat hiburan (13) dan lain-lain (28),” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam perkembangan sama, jelasnya, pihak berkuasa juga berjaya memberkas 31 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) dan merampas sembilan buah kenderaan darat menerusi Op Benteng.
“Sebanyak 116 buah bot/kapal turut dikesan di perairan negara melalui 14 aktiviti penglihatan manakala dua PATI turut diusir melalui satu aktiviti pengusiran.
“Op Benteng berkenaan melibatkan PDRM, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Agensi Keselamatan Sempadan Malaysia (AKSEM) serta agensi-agensi keselamatan lain yang mana turut menjalankan 270 sekatan jalan raya (SJR),” ujarnya. – K! ONLINE