Nafuzi puji semangat juang tinggi anak-anak buah yang tidak berputus asa
Oleh TENGKU DANISH BAHRI TENGKU YUSOF
MENTALITI tidak putus asa barisan pemain Terengganu FC (TFC) sehingga wisel penamat menjadi faktor kemenangan tipis 1-0 ke atas Kuala Lumpur City pada aksi Liga Super di tempat sendiri kelmarin.
Ketua jurulatih TFC, Mohd. Nafuzi Zain berkata, TFC bernasib baik pada babak pertama apabila tiang dan palang menyelamatkan pintu gol mereka daripada dibolosi lawan.
Menurutnya, permainan anak buahnya lebih tersusun pada separuh masa kedua selain kerja keras pemain memecahkan kebuntuan menjadi kunci kejayaan TFC meraih tiga mata penting di depan hampir 3,000 penyokong.
“Kuala Lumpur City bukan lawan mudah, pasukan yang baik dan sangat berbahaya menerusi serangan balas selain pemain mereka juga nampak yakin dengan bola.
“Kami meningkatkan tempo pada babak kedua dan saya bersyukur kemenangan ini dianggap rezeki bulan Ramadan,” jelasnya pada sidang akhbar selepas perlawanan di Stadium Sultan Mizan Abidin, Kuala Nerus kelmarin.
Kemenangan diraih TFC dibantu jaringan berkelas dunia dihasilkan tonggak import, Makan Konate pada minit ke-88, yang juga gol pertama pemain Mali itu musim ini.
Selepas sembilan aksi, Sang Penyu gah di tangga kedua dengan 18 mata hasil lima kemenangan, tiga seri dan satu kekalahan.