fbpx

Sarah trauma terbayang mayat rentung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GADIS kelahiran Kota Bharu ini yang pernah bertugas sebagai jururawat sanggup terjun ke bidang kebombaan kerana minat mendalam.

DI SEBALIK keayuannya, siapa sangka beliau merupakan seorang anggota bomba wanita yang bertugas di Balai Bomba dan Penyelamat Seremban, Ne­geri Sembilan.

Nor Maisarah Ibrahim, 31, yang mesra dengan panggilan Sarah berkata, dia mahu mengubah persepsi orang ramai yang sering beranggapan kerjaya kebombaan hanya untuk kaum lelaki.

Seorang anggota bomba perlu berdepan dengan tugas-tugas berat dan mencabar, namun itu bukan penghalang pemegang Diploma Kejururawatan dari Kolej Universiti Sains Kesihatan Masterskill itu untuk meneruskan kerjaya dalam bidang bomba.

Pernah bertugas sebagai seorang jururawat swasta selama 18 bulan, Sarah akhirnya menukar profesion sebagai bomba pada 2017 kerana meminati aktitiviti lasak dan ingin membuktikan wanita juga mampu menjadi ‘unsung hero’.

Ikuti temu bual Kosmo! Ahad dengan Sarah yang berkongsi pengalamannya sebagai anggota bomba wanita.

Kosmo! Ahad: Mengapa memilih kerjaya sebagai bomba?
Sarah: Sebenarnya saya memang meminati kerjaya beruniform sejak kecil lagi selain minat mendalam dalam aktiviti-aktiviti lasak terutama mendaki gunung serta berniat membantu orang ramai dalam pekerjaan ini.

Apakah skop tugas Sarah sebagai anggota bomba?
Saya bertugas dalam Pasukan Perkhidmatan Penyelamatan Perawatan Kecemasan (EMRS) yang bertanggungjawab memberi rawatan khususnya kepada anggota bomba di tempat operasi sekiranya mengalami kece­deraan selain memberi rawatan kecemasan kepada mangsa (orang awam) sebelum pihak ambulans tiba.

Apakah tugas mencabar lain yang Sarah lakukan sebagai anggota bomba?
Selain itu, saya juga terlibat dalam bahagian operasi, seperti anggota bomba lelaki saya juga turun padang membantu operasi pemadaman kebakaran dan kes kemalangan, di mana saya perlu sentiasa bersedia mental serta fizikal.

MAISARAH

Adakah terdapat perbezaan tugas antara anggota bomba lelaki dan wanita?
Tiada diskriminasi tugas sebagai anggota bomba dan penyelamat, anggota lelaki dan wanita melakukan skop tugas yang sama, namun mereka sentiasa membantu dan memberikan semangat kepada saya.

Apakah pengalaman yang tidak boleh dilupakan sepanjang empat tahun bertugas sebagai bomba?
Pengalaman yang paling tidak boleh dilupakan apabila melihat mayat dua orang mangsa kemalangan yang tersepit dan rentung sehinggakan beberapa malam selepas kejadian saya sentiasa terbayang keadaan mayat yang mengerikan itu.

Apakah persepsi keluarga apabila mendapat tahu Sarah ingin menjadi bomba?
Alhamdulillah, keluarga tidak pernah menghalang dan merestui pilihan saya untuk menjadi bomba walaupun pada awalnya ada yang bimbang saya tidak mampu melaksanakan tugas berat yang diamanahkan.

Apa pesanan Sarah kepada wanita di luar sana yang berminat menjadi anggota bomba dan penyelamat?
Bagi wanita di luar sana yang mahu menyertai anggota bomba, saya nasihatkan sekali melangkah jangan berpatah balik teruskan sehingga ke penghujungnya dan yang paling penting mental serta fizikal perlu kuat. K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI