PETALING JAYA – Tiga lelaki maut selepas kereta dinaiki mereka terbabas dan melanggar sebatang pokok di Jalan Klang Lama di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6.49 pagi itu, ketiga-tiga mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kemalangan oleh pasukan perubatan dari Hospital Kuala Lumpur.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, ketiga-tiga mangsa merupakan warga tempatan berusia 16, 19 dan 21 tahun
“Siasatan awal mendapati, kejadian berlaku membabitkan sebuah kereta Proton Wira yang dinaiki ketiga-tiga mangsa dari arah Klang Lama menghala ke pusat bandar.
“Kereta dipandu salah seorang mangsa itu telah hilang kawalan sebelum melanggar batu penghadang jalan di sebelah kanan dan merempuh sebatang pokok di kiri jalan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut Zulkefly, akibat kemalangan terbabit, ketiga-tiga mangsa dilaporkan berada dalam keadaan tidak sedarkan diri dan tersepit.
“Anggota bomba bagaimanapun telah berjaya membawa kesemua mereka keluar dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan.
“Mayat mangsa telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) untuk bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” jelasnya. – K! ONLINE.