NEW DELHI-Seorang penumpang sebuah penerbangan Air Asia menimbulkan kekecohan apabila mengatakan jaket keselamatan yang dipakai adalah bom sebelum berbogel, lapor Newsweek, baru-baru ini.
Dalam insiden yang berlaku pada awal bulan ini, penerbangan i5-722 yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kempegowda, Karnataka dilaporkan terpaksa mendarat awal.
“Seorang penumpang penerbangan i5-722 berkelakuan kurang sopan terhadap salah seorang kru penerbangan yang sedang bertugas.
“Dia hanya berhenti selepas diminta berbuat demikian oleh beberapa orang kru lain,” kata seorang jurucakap AirAsia kepada The Hindu.com.
Salah seorang penumpang pesawat itu memberitahu, penumpang itu mula bertengkar dengan kru penerbangan tentang jaket keselamatan dan mula berkelakuan tidak senonoh.
“Staf lain cuba menenangkannya namun dia terus menanggalkan pakaiannya satu persatu,” katanya.
Pesawat itu terpaksa mendarat awal selepas juruterbang dimaklumkan tentang kejadian itu.
Selepas mendarat, penumpang itu diserahkan kepada pihak polis dan dilaporkan mabuk, lapor New Indian Express.
Pengarah Jeneral Penerbangan Awam (DCGA) India mengenakan larangan penerbangan ke atas mana-mana penumpang yang berkelakuan tidak senonoh bagi tempoh tiga bulan atau selama-lamanya.
-Agensi