KOTA BHARU – Seorang wanita yang sedang berpantang selepas kelahiran anak nyaris maut apabila dia menggantung diri dengan menggunakan sehelai kain tudung di dalam sebuah bilik di rumahnya di Taman Paya Keranji, Jalan Pasir Hor di sini hari ini.
Dalam kejadian pada pukul 12 tengah hari itu, suami mangsa curiga apabila isterinya yang berusia 38 tahun enggan membuka pintu bilik itu yang dikunci daripada dalam.
Difahamkan, mangsa sedang berpantang selama tujuh hari dan anaknya masih berada di Hospital Universiti Sains Mslaysia (HUSM), Kubang Kerian kerana dilahirkan tidak cukup bulan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Tumboh, EI Taraff Mohd. Zachariah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada suami mangsa kira-kira pukul 12.29 tengah hari tadi.
Katanya, seramai tujuh anggota tujuh bomba bergegas ke rumah mangsa untuk menjalankan operasi menyelamat wanita itu.
“Sebaik tiba di rumah itu, anggota bomba cuba memujuk mangsa untuk keluar dari bilik itu, namun gagal. Bimbang dengan keselamatan wanita itu, kita bertindak memecah pintu bilik sebelum mendapati mangsa terbaring tidak sedarkan diri di atas katil.
“Pemeriksaan di dalam bilik itu mendapati sehelai tudung diikat pada jeriji tingkap dipercayai bertujuan untuk menggantung dirinya,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Menurut EI Taraff, mangsa telah sedarkan diri beberapa minit kemudian sebelum dibawa ke HUSM untuk pemeriksaan lanjut.
Katanya, berdasarkan keterangan suami, sebelum ini, wanita itu pernah meminum cecair peluntur sebagai cubaan untuk membunuh diri.
Tambahnya, pihak bomba kemudian membuat laporan di Balai Polis Kubang Kerian berhubung kejadian itu. – K! ONLINE