PETALING JAYA – Satu rakaman video seorang gadis bertemu ibu bapanya di sempadan Kedah dan Perlis tular di media sosial hari ini.
Gadis berkenaan dipercayai telah lama tidak berjumpa ibu dan bapanya disebabkan larangan merentas negeri.
“Rindunya ya Allah. Aku nak balik Kedah tak boleh. Mak abah nak datang Perlis pun tak boleh. Kami buat keputusan untuk jumpa di sempadan Kedah dan Perlis.
“Moga Ramadan kali ini diberi kekuatan dan kesabaran yang lebih,” katanya dalam rakaman video yang dimuat naik di aplikasi TikTok tersebut.
Gadis itu yang menggunakan akaun Nur Nadiatul Farisya berjumpa ibu bapanya di sempadan negeri dengan disaksikan pegawai polis di sekatan berkenaan.
Dalam rakaman video tersebut, ibu bapanya dilihat berjalan sambil membawa barang dipercayai makanan untuk anaknya itu di sempadan negeri.
Rata-rata netizen meninggalkan komen berasa sebak melihat kegigihan ibu bapa terbabit sanggup berjumpa anak mereka di sempadan negeri walaupun hanya sekejap sahaja. – K! ONLINE