MANCHESTER – Aksi memberangsangkan yang ditampilkan pemain muda Manchester City, Phil Foden musim ini membawa tuah buat dirinya apabila bakal menerima kenaikan gaji.
Pemain berusia 20 tahun itu sudah menjaringkan 13 gol musim ini termasuk ketika meledak gol kemenangan dalam dua aksi suku akhir Liga Juara-Juara bertemu Borussia Dortmund.
Difahamkan, The Citizens sedia menawarkan £100,000 (RM571,038) seminggu kepada Foden, tiga kali ganda berbanding gaji yang diterimanya ketika ini.
Menerusi kenaikan gaji itu, Foden juga akan ditawarkan kontrak lanjutan dua tahun sehingga 2026 memandangkan kontrak sedia ada tamat 2024.
Pengurus City, Pep Guardiola mengakui pemain antarabangsa England itu sudah menampilkan aksi terbaik musim ini, sekali gus layak untuk menerima kenaikan gaji.
“Phil (Foden) menerima banyak pujian musim ini kerana dia menampilkan aksi sangat baik. Saya percaya dia sudah buktikan kemampuannya di atas padang.
“Saya lebih memilih untuk menurunkan Phil ketika ini kerana dia perlu banyak belajar. Dia akan berdepan banyak situasi sukar dalam kariernya selepas ini,” ujar bekas jurulatih Barcelona itu. – AGENSI