PONTIAN – Usaha dua penghantar atau transporter membawa 14 pendatang asing tanpa izin (PATI) tidak berhasil apabila ditahan dalam dua serbuan berasingan dalam Ops Benteng di sekitar daerah ini awal pagi semalam.
Pegawai Pemerintah Batalion 5, Pasukan Gerakan Am (PGA) Simpang Renggam, Superintendan Dimin Awang berkata, tangkapan pertama dilakukan pada pukul 2.05 pagi.
Menurutnya, seorang transporter berusia 32 tahun ditahan bersama lima lelaki Indonesia berusia 24 hingga 65 tahun.
“Kelima-lima lelaki tersebut cuba pulang ke negara asal mereka di Jalan Laut Kampung Sungai Buntu, Penerok menggunakan jalan yang tidak diwartakan.
“Dilokasi tersebut juga kami merampas sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza yang digunakan untuk menghantar PATI sebelum menaiki bot,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Dimin berkata, hasil pemeriksaan lanjut di kawasan sama, pihaknya berjaya menahan sebuah kenderaan Perodua Aruz yang dipandu oleh seorang lelaki warga negara Indonesia dipercayai transporter berusia 36 tahun.
Jelasnya, selain suspek, empat lelaki dan lima wanita Indonesia berumur 22 hingga 53 turut diberkas disyaki baru memasuki negara ini.
Beliah berkata, pihaknya turut merampas kenderaan serta wang tunai berjumlah RM146,000.
“Kesemua PATI serta barang rampasan diserahkan kepada Ibu Pejabat Daerah ( IPD ) Pontian untuk siasatan lanjut,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 26(a) Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007. – K! ONLINE