KOTA BHARU – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kelantan mengeluarkan sebanyak 48 notis kompuan terhadap peniaga dan pemborong ayam di negeri ini.
Pengarahnya, Adnan Abd. Rahman berkata, kesemua notis kompaun itu dikeluarkan selepas mendapati mereka menaikkan harga bahan mentah itu.
Katanya, kompaun mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 diberikan sewaktu KPDNHEP menjalankan Ops Catut 8.0 bermula Khamis hingga semalam.
“KPDNHEP Kelantan mengambil serius isu kenaikan harga ayam berikutan aduan orang ramai khususnya ketika bulan Ramadan ini.
“Kami akan terus melakukan pemantauan bekalan, harga ayam dan barang keperluan lain di pasaran dari semasa ke semasa bagi memastikan pengguna memperoleh barangan mentah itu pada harga yang berpatutan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Sebelum ini, akhbar tempatan melaporkan harga ayam di seluruh negara meningkat dan mencecah RM10.50 sekilogram dan dijangka meningkat sehingga RM12 menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Mengulas lanjut, Adnan memberitahu, KPDNHEP Kelantan turut mengeluarkan sebanyak 19 notis kompaun kepada peniaga daging lembu yang didapati melanggar peraturan.
Katanya, selain itu, 34 notis dikeluarkan kepada peniaga sayur-sayuran turut dikeluarkan dalam Ops Catut 8.0 di seluruh negeri. – K! ONLINE