PETALING JAYA – Polis mengesahkan penahanan empat lagi individu disyaki pelakon yang terbabit dalam video terbaharu iklan lagu raya yang mempromosikan judi.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, keempat-empat individu tersebut telah ditahan pada petang semalam di sekitar kawasan Ampang.
“Kesemua mereka merupakan tiga lelaki dan seorang wanita berusia dalam lingkungan 24 hingga 32 tahun.
“Siasatan awal mendapati, keempat-empat mereka menerima upah sebanyak RM200 seorang sebagai pelakon dalam video berkenaan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Mengulas lanjut, kesemua empat individu terbabit kini direman selama dua hari bermula hari ini hingga esok.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 505 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia serta Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 kerana terbabit dalam sebaran video mempromosikan perjudian dalam talian,” ujarnya.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan selepas polis memberkas lapan individu yang terlibat dengan iklan lagu raya mempromosikan judi, muncul satu lagi klip video sama tetapi disyaki melibatkan syarikat pertaruhan dan pelakon lain.
Berdasarkan klip video yang menggunakan tagline Hari Raya Berkaya dan berdurasi 18 saat itu, ternyata pihak pengeluar mahu mempromosikan laman web berunsurkan judi dengan menjadikan tema sambutan hari raya sebagai fokus utama.
Jika klip video sebelum ini memaparkan jalan cerita seorang pemuda tiada duit untuk pulang beraya, video kedua ini pula lebih kurang sama cuma apabila melibatkan pasangan suami isteri yang tiada duit ditambah pula motosikal mereka dicuri. – K! ONLINE.