SEBERANG PERAI – Seramai 21 warga Myanmar ditahan polis selepas didapati berpesta air sambil menari dan memasang muzik dengan kuat di hadapan sebuah rumah di Taman Bidara, Bukit Mertajam hari ini.
Mereka terdiri daripada 20 lelaki dan seorang wanita itu ditahan ketika pasukan polis tiba kira-kira pukul 2.30 petang.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd. Samad berkata, pihaknya mendapati sekumpulan lelaki dan wanita warga asing sedang berkumpul di pekarangan sebuah rumah.
“Kumpulan itu didapati membuat bising, menari mengikut rentak muzik dan bermain semburan air menggunakan paip getah.
“Kumpulan itu juga didapati tidak mengamalkan penjarakan fizikal dan tidak memakai pelitup muka semasa berkumpul,” katanya kepada pemberita hari ini.
Beliau berkata, kumpulan terbabit cuba melarikan diri sebaik menyedari kehadiran polis, namun berjaya dihalang.
“Bagaimanapun, salah seorang lelaki disyaki mabuk telah menolak anggota polis semasa pemeriksaan.
“Dia juga meninggikan suara dan enggan memberi kerjasama apabila diminta menunjukkan dokumen pengenalan diri,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, kesemua individu berkenaan ditahan kerana gagal memberikan alasan yang munasabah di bawah Seksyen 186 dan Seksyen 269 Kanun Keseksaan.
Mereka juga ditahan mengikut Peraturan 15, Peraturan Pengawalan dan Pencegahan Penyakit Berjangkit (PPDPPB) 2021 kerana ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan. – K! ONLINE