CYBERJAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengesahkan pihaknya sudah mengambil tindakan terhadap penyiaran sebuah lagi iklan promosi judi dalam talian yang tular di media sosial.
MCMC berkata, pihaknya sudah menghubungi penyedia platform media seperti Facebook, Twitter dan YouTube supaya menurunkan kandungan iklan itu.
“Kami meminta supaya iklan itu diturunkan mengikut terma perkhidmatan serta piawaian komuniti yang ditetapkan oleh MCMC.
“Kami sedia maklum mengenai penyiaran sebuah lagi iklan yang mengajak umat Islam di negara ini untuk berjudi bagi mendapatkan dana balik kampung,” katanya.
Katanya, pihaknya mendapati penyebaran video-video sedemikian dimuat naik di platform yang berpangkalan di luar negara dan tidak dapat dikawal.
Jelasnya lagi, kandungan yang dimuat naik itu juga tidak perlu melalui Lembaga Penapisan Filem (LPF) kerana ianya bukan di platform tempatan.
MCMC berkata, setakat ini, sejumlah 61 kandungan telah diminta untuk diturunkan oleh pihak Facebook, Twitter dan YouTube yang berpangkalan di luar negara.
“Kira-kira 13 peratus daripada kandungan itu telahpun diturunkan berdasarkan pelanggaran terma perkhidmatan serta piawaian komuniti yang ditetapkan manakala selebihnya masih dalam proses penilaian dan penelitian penyedia platform.
“Kami dapati terdapat pertambahan yang mendadak kepada kandungan dilaporkan kepada penyedia platform pada hari ini, kerana terdapat percambahan dari semasa ke semasa berdasarkan muat naik semula oleh pengguna-pengguna media sosial, yang menyukarkan proses pembasmian penyebaran kandungan tersebut,” katanya.
Katanya, usaha membasmikan kandungan seperti ini juga bergantung kepada rakyat Malaysia sendiri justeru, orang ramai diminta melaporkan terus kepada pihak berkuasa mengenai penyebaran video-video yang bercanggah dengan norma masyarakat supaya tindakan boleh diambil.
Menurutnya lagi, perbuatan menyebarluaskan kandungan berkenaan hanya akan membantu secara langsung pihak yang tidak bertanggungjawab tersebut.
Terdahulu, satu lagi iklan Hari Raya berunsurkan aktiviti perjudian tular di media sosial dan turut mengundang kecaman netizen. – K! ONLINE