JOHOR BAHRU – Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay menafikan bahawa senarai nama pegawai dan anggota polis yang tular di media sosial adalah individu yang terlibat dengan jenayah dilakukan ‘Geng Nicky’.
Beliau yang mengesahkan perkara itu berkata, pihaknya telah menyiasat senarai nama berkenaan dan ianya tiada kaitan dengan kes yang sedang dikendalikan pihaknya.
“Yang pasti memang tiada kaitan setakat ini tetapi saya tidak tahulah kalau mungkin ada kaitan dengan kes lain.
Berita berkaitan: Nicky kian tersepit
Berita berkaitan: Tunggu masa cekup tali baru Nicky
“Daripada siasatan kita buat, soal siasat kita buat, memang nama-nama yang ditularkan itu tiada kaitan dengan Datuk Seri Nicki (Datuk Seri Nicky Liow Soon Hee),” katanya selepas menghadiri Program Infaq Ramadan di Masjid Jannatul Firdaus di Taman Molek di sini, hari ini.
Beberapa hari lalu, tular di media sosial satu senarai nama pegawai-pegawai dan anggota polis Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Bukit Aman yang dikatakan terlibat dengan pelbagai sindiket jenayah terancang iaitu dengan cara melindungi, bersubahat, bersekongkol, menyalahguna kuasa dan menerima rasuah.
Senarai nama yang tular itu sekaligus menimbulkan persoalan sama ada mereka ini merupakan antara pegawai polis yang terbabit dengan kes ‘Geng Nicky’. – K! ONLINE