JAKARTA – Sebuah majlis persandingan di Indonesia menjadi tular di media sosial apabila pengantin lelakinya dirakam beraksi mesra dengan seorang tetamu wanita di atas pelamin sambil disaksikan pengantin perempuan, lapor portal berita Merdeka.com semalam.
Menerusi klip video pendek dimuat naik dalam akaun Instagram @undercover.id, pengantin lelaki itu dilihat berdiri dan bergambar bersama seorang tetamu wanita. Wanita itu kemudian meletakkan tangan dan kepalanya pada bahu pengantin lelaki dengan penuh mesra.
Di sebelahnya, kelihatan pengantin perempuan hanya duduk di atas pelamin dengan wajah sugul. Lokasi kejadian bagaimanapun tidak disebutkan.
Pemilik akaun tersebut memuat naik video itu dengan kapsyen bertulis: “Jika anda pengantin perempuannya, apa yang akan anda lakukan?”
Rata-rata netizen berang dengan aksi si tetamu wanita itu yang disifatkan sebagai tidak wajar.
“Saya akan minta untuk bercerai waktu itu juga,” tulis seorang pengguna Instagram di ruangan komen.
Seorang lagi netizen menulis: “Pengantin lelakinya sangat kurang ajar.”
Sehingga kini video tersebut sudah ditonton sebanyak 160,000 kali dan menerima hampir 2,000 komen. – Agensi