fbpx

Penduduk sedih puasa tanpa air

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sebahagian penduduk HSR memegang poster meminta SADA menyelesaikan masalah gangguan air di Bedong, Sungai Petani semalam.

SUNGAI PETANI – Seramai 250 penduduk di Harvard Suasana Resort (HSR), Bedong di sini, me­nyambut Ramadan dalam suasana muram apabila mereka berdepan dengan masalah gangguan bekalan air bersih.

Keadaan itu menyebabkan suri rumah yang tinggal di kawasan tersebut tidak dapat mengurus rumah tangga dengan sempurna terutamanya untuk memasak juadah berbuka dan bersahur.

Seorang penduduk, Solehah Mohamad, 67, berkata, gangguan bekalan air telah berlaku sejak beberapa minggu lalu sehingga memaksa mereka membeli dan mengangkut air dari luar taman perumahan itu.

“Sehari sebelum berpuasa, bekalan air terputus lagi menyebabkan kami mengalami masalah untuk membuat persediaan berbuka dan bersahur.

“Bekalan air yang dihantar Syarikat Air Darul Aman (SADA) pula tidak menentu dan hari ini masuk hari kedua kami tidak menerima bekalan,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Pesara guru, Norizan Md. Zin, 62, berkata, dia tidak dapat tidur malam hingga ke pagi untuk menadah air yang keluar tidak menentu bagi kegunaan harian.

“Sepatutnya saya memperbanyakkan amalan di bulan mulia ini tetapi disebabkan ke­tiadaan air, tumpuan untuk beri­badat turut terjejas,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Syaz­wana Azahari, 35, berkata, dia keletihan berulang-alik me­ngangkut air daripada rumah saudara di luar kawasan perumahannya ketika sedang berpuasa.

“Kami sekeluarga terpaksa berjimat menggunakan air untuk memasak sebagai persediaan berbuka, mandi, membasuh pakaian dan kegunaan lain,” ujarnya.

Penduduk berharap pihak SADA lebih prihatin dan menghantar bekalan air dengan menggunakan lori tangki secara berjadual bagi membantu penduduk menghadapi masalah bekalan air terputus.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI