Pihak berkuasa di Panama kelmarin memintas penyeludup tidak disangka iaitu seekor kucing putih yang membawa pelbagai jenis dadah di dalam kantung diikat pada badannya ketika ia cuba masuk ke dalam sebuah penjara.
Kucing itu dipintas di luar Penjara Nueva Esperanza yang menempatkan lebih 1,700 banduan di Colon, utara Bandar Panama.
“Terdapat kain diikat pada haiwan itu yang mengandungi peket-peket berisi serbuk putih, daun dan tumbuhan lain,” kata ketua Sistem Penjara Panama, Andres Gutierrez.
Menurut seorang pegawai lain, barang tersebut adalah kokain, ganja dan dadah lain.
Pihak berkuasa turut menyiarkan gambar dadah berkenaan dan kucing tersebut yang tertangkap.
Kucing yang tidak dapat dipastikan namanya itu tidak dihukum penjara tetapi di hantar ke sebuah rumah penjagaan haiwan.
Panama mempunyai kira-kira 18,000 banduan di dalam 23 penjara dengan kebanyakannya sesak. – AFP