fbpx

Elegan cara Toyota Harrier

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
REKA bentuk hadapannya direka lebih garang misalnya bahagian lampu hadapan Bi-LED.

TOYOTA baru-baru ini melancarkan secara rasmi model Harrier terbaharu bagi pasaran tempatan.

Kehadiran jentera itu sekali gus memeriahkan katalog kenderaan utiliti sukan (SUV) di negara ini dengan memberikan pengguna lebih banyak pilihan sama ada mahu membeli kereta seperti Toyota RAV4, Mazda CX-5 mahupun Proton X50.

SUV generasi keempat itu boleh dimiliki peminatnya pada harga RM249,706.50 atas jalan tanpa insurans, dengan satu sahaja varian ditawarkan iaitu 2.0 Luxury.

Kuasa bagi jentera ini tetap mengagumkan, namun penggunaan enjin M20A-FKS 16-Valve DOHC membuatkannya kurang berkuasa berbanding model terdahulu.

Menerusi enjin tersebut, Toyota Harrier baharu mampu menghasilkan kuasa maksimum 173PS pada 6,600rpm dan tork maksimum 203Nm pada 4,400 hingga 4,900rpm.

Model generasi terdahulu Harrier sebaliknya menghasilkan kuasa maksimum 231PS dan 350Nm tork maksimum.

SUV ini mempunyai kepanjangan 4,740 milimeter.

Kuasa yang berkurangan tersebut mungkin mengecewakan sebilangan peminat, namun ia bukanlah satu isu besar yang menjejaskan keupayaan SUV berkenaan.

Sementara itu, enjin diguna pakai Harrier baharu tersebut dipadankan dengan transmisi pemboleh ubah berterusan (CVT) dengan Sequential Shiftmatic.

Gabungan enjin dan transmisi berkenaan membolehkan Toyota Harrier baharu itu bergerak dari titik pegun ke 100 kilometer sejam (km/j) dalam tempoh 9.7 saat, manakala kelajuan puncaknya ialah 190km/j.

Pemandu jentera itu juga boleh memilih mod pemanduan kesukaan masing-masing, dengan tiga mod disediakan iaitu ECO, Sport dan Normal.

Rupa Harrier baharu juga lebih garang berbanding model terdahulu dan ini dapat dilihat pada beberapa bahagian jentera berkenaan seperti rekaan lampu hadapan Bi-LED (diod nyalaan siang) jentera itu.

Lampu belakangnya juga tampak unik dengan rekaannya menampakkan seolah-olah bersambung dengan spoiler SUV berkenaan.

Jentera itu juga menggunakan rim aloi bersaiz 18 inci dengan jejarinya berwarna perak dan hitam bagi menghasilkan rupa lebih sporty dan elegan.

Peminat bumbung panoramik tidak perlu bimbang kerana ciri tersebut merupakan standard bagi jentera tersebut.

LAMPU belakangnya kelihatan unik dengan rekaannya menampakkan seolah-olah bersambung dengan spoiler.

Ciri kemodenan Harrier baharu juga dapat dilihat pada bahagian dalam SUV tersebut yang mana ia diterjemahkan secara jelas menerusi rekaan papan pemukanya.

Bagi sistem ketersambungan (connectivity) pula, Toyota Harrier boleh disambung dengan Apple Carplay dan Android Auto-Ready Connectivity.

Paparan lapan inci melengkapi papan pemuka jentera tersebut yang antara lain mempunyai fungsi lain seperti memaparkan kamera mengundur.

Seperti model jentera terkini, Harrier dilengkapi dengan port USB, AUX dan boleh dipadankan dengan Bluetooth.

Satu ciri yang unik bagi Harrier adalah ia didatangkan dengan pengecas telefon bimbit tanpa wayar.

REKAAN papan pemukanya yang tampak moden dengan paparan lapan inci yang turut memaparkan visual kamera mengundur.

Tempat duduknya pula dibaluti dengan kulit berwarna hitam, sekali gus menaikkan rupa eksklusif Harrier baharu tersebut.

Tidak lengkap jentera berkenaan tanpa ciri keselamatan terkini bagi menjamin kelicinan pemanduan penggunanya.

Antara ciri keselamatan yang terdapat pada Harrier baharu adalah Sistem Prakemalangan Toyota Safety Sense (PCS).

Fungsinya adalah mengelakkan pemandu daripada terlibat dengan kemalangan dengan memberi amaran dan mengaktifkan brek secara automatik sewaktu jentera berisiko terbabit kemalangan.

Turut melengkapi jentera itu adalah Amaran Penukaran Lorong (LDA) dengan Bantuan Stereng.

Dynamic Radar Cruise Control (DRCC) juga memastikan Harrier sentiasa berada pada jarak selamat daripada kenderaan lain. DRCC akan mengaktifkan brek secara automatik sekiranya kenderaan di hadapan berhenti.

PENGECAS telefon bimbit tanpa wayar antara tarikan jentera ini.

Harrier baharu turut didatangkan denga Bantuan Pengesanan Lorong (LTA) yang mana ia memastikan jentera itu kekal di dalam lorong dengan mengesan garisan lorong dan kenderaan di hadapan.

SUV itu turut dilengkapi dengan Sistem Telematik Kenderaan iaitu sistem yang mampu memantau dan berkongsi kedudukan semasa kereta itu menerusi aplikasi telefon bimbit.

Toyota Harrier baharu didatangkan dengan lima pilihan warna iaitu Precious Black (hitam), White Pearl Crystal Shine (putih), Steel Blonde Metallic (perak), Slate Grey Metallic (kelabu) dan Dark Blue Metallic (biru).

Toyota Harrier mempunyai waranti selama lima tahun tanpa had perbatuan bermula dari tarikh pendaftaran jentera tersebut.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI