PETALING JAYA – Polis berjaya memberkas empat lelaki yang disyaki terlibat dalam pergaduhan di sebuah restoran di kawasan Damai Perdana, Batu 9, Cheras di sini.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd. Zaid Hassan berkata,
kesemua suspek warga tempatan itu diberkas Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang.
Menurutnya, kesemua suspek yang berusia lingkungan 19 hingga 28 tahun ditahan bagi membantu siasatan berkenaan insiden tersebut.
“Dalam kejadian 9 April lalu, IPD Kajang telah menerima panggilan kecemasan berhubung pergaduhan melibatkan sekumpulan lelaki di restoran tersebut.
“Seorang lelaki berusia 27 tahun mengalami kecederaan dan dia telah dirawat di Hospital Kajang, bagaimanapun mangsa dibenarkan pulang dan dilaporkan stabil,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.
Jelasnya, polis masih menyiasat punca sebenar kejadian itu.
Katanya, empat suspek terbabit akan ditahan reman sehingga esok (Ahad) dan kes disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan (KK).
Terdahulu, tular video berdurasi 30 saat di laman sosial memaparkan sekumpulan lelaki bergaduh sambil memukul individu lain dengan kerusi plastik yang terdapat di restoran berkenaan. – K! ONLINE