PETALING JAYA – Seorang bekas pegawai polis berpangkat Inspektor diberkas, semalam ekoran menyebarkan tuduhan palsu dengan mendakwa wujud kumpulan ‘kartel’ dalam Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7), Bukit Aman.
Bekas Inspektor yang berusia 33 tahun itu diberkas sekitar pukul 11.24 malam di sebuah rumah di Alor Setar, Kedah.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, polis turut merampas pelbagai barangan seperti laptop, telefon bimbit, pendrive, kad sim dan lain-lain gajet.
Menurutnya, kesemua rampasan tersebut telah hantar ke Makmal Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tujuan analisa.
“Semakan mendapati suspek merupakan bekas pegawai polis yang telah dijatuhkan hukuman pengawasan oleh Lembaga Pencegahan Jenayah (LPJ) menerusi Op Mualang yang dilaksanakan oleh Bahagian D7 (Gengstrerisme), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman dalam usaha mencegah aktiviti kongsi gelap di sekitar kawasan Klang, Selangor.
“Sebelum ini, suspek juga didapati pernah membuat beberapa tohmahan terhadap pegawai dan anggota D7 (Gengtrerisme) Bukit Aman,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.
Jelasnya, pihak polis tidak menolak suspek bertindak sedemikian akibat marah, tidak berpuas hati dan dendam terhadap pasukan siasatan yang telah mengambil tindakan terhadapnya sehingga dia diberhentikan kerja dan dikenakan hukuman pengawasan selama dua tahun di Alor Setar, Kedah di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959.
“Tindakan suspek membuat tohmahan juga jelas memberi kesan negatif kepada imej PDRM termasuk pegawai dan anggota D7 Bukit Aman,” ujarnya.
Dalam perkembangan sama, menurut beliau, sebanyak empat laporan polis telah dibuat oleh empat pegawai yang nama mereka telah disebut dalam tohmahan terbabit.
Justeru itu, tegasnya, polis telah membuka empat kertas siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan/Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 bagi mengesan, menangkap dan mendakwa mana-mana individu atau kumpulan yang terkesan bertanggungjawab dalam membuat serta menyebarkan isu yang berbentuk fitnah ini.
Terdahulu, tular di laman sosial mendakwa wujud kumpulan ‘kartel’ D7 Bukit Aman terdiri daripada lima pegawai kanan polis dan tujuh anggota polis berpangkat rendah.
Kumpulan ‘kartel’ tersebut didakwa bersekongkol dan melindungi kumpulan jenayah terancang melibatkan beberapa kumpulan kongsi gelap seperti Geng Nicky, Geng Addy Kanna, Geng Wan Padang Besar, Geng Pak Su Bukit Kayu Hitam dan Geng Tiger 99. – K! ONLINE