PRAGUE – Pengurus Arsenal, Mikel Arteta enggan melabel pasukannya sebagai pilihan utama ke pentas final Liga Europa musim ini kerana bakal berhadapan Villarreal iaitu pasukan yang dibimbing pengendali terbaik dalam sejarah kejohanan, Unai Emery.
The Gunners menempah pertemuan menentang Villarreal di peringkat separuh akhir selepas membelasah Slavia Prague 4-0 pada suku akhir kedua di Eden Arena awal pagi semalam sekali gus mengesahkan kemenangan 5-1 secara agregat.
Bagaimanapun, ia bukan tugas mudah kerana Emery pernah menjuarai trofi Liga Europa tiga musim berturut-turut bersama Sevilla pada 2014, 2015 dan 2016 selain beliau juga adalah bekas pengurus Arsenal yang mara ke pentas final edisi 2019.
Justeru, Arteta menganggap, pertembungan menentang Emery dan anak-anak buahnya bakal berlangsung dengan penuh sengit apatah lagi kedua-dua pasukan mahu membuktikan sesuatu pada musim ini.
“Saya percaya ia akan menjadi sukar kerana pasukan kendalian Emery memiliki percaturan dan kualiti tersendiri. Perlu diingat, beliau juga mempunyai reputasi hebat dalam kejohanan ini.
“Saya tidak mahu cepat selesa dengan kemenangan ini kerana banyak lagi kelemahan perlu diperbaiki. Namun, kami akan memberikan tentangan terbaik bertemu Villarreal nanti,”
katanya.
Sementara itu, Arteta mengakui, teruja menyaksikan kecemerlangan pemain-pemain muda seperti Bukayo Saka dan Emile Smith Rowe yang memainkan peranan penting memastikan jentera serangan Arsenal lebih agresif.
Hasilnya, The Gunners berjaya meraih empat gol menarik menerusi dua jaringan Alexandre Lacezette dan masing-masing satu daripada Nicolas Pepe serta Saka.
“Saka dan Smith Rowe wajar diberi pujian kerana setiap gerakan mereka berjaya memberi ancaman buat Slavia. Saya mahu mereka fokus dan tidak berpuas hati dengan prestasi semasa,” jelas Arteta. – AGENSI