fbpx

Anita cari ibu bapa kandung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anita tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri sehingga menyukarkan dia untuk mendaftar masuk ke sekolah pada tahun ini - Foto : Ihsan Raja Azlina

KOTA BHARU – Seorang peniaga sedang mencari ibu bapa kandung kepada anak angkatnya yang dijaga sejak tujuh tahun lalu bagi menyelesaikan urusan dokumentasi sijil kelahiran kanak-kanak itu.

Menurut Raja Azlina Raja Md. Noor, 39, berkata, anak angkatnya yang hanya diberi nama Anita itu berada dibawah jagaannya sejak dia berusia lima bulan di Kampung Tok Jawa, Bachok.

Mengimbas kisah tujuh tahun lalu, Raja Azlina berkata, dia didatangi oleh pasangan suami isteri yang meminta bantuan untuk menjaga Anita selepas memberi alasan mahu menziarahi keluarga mereka di Thailand.

Katanya, selepas daripada itu, pasangan suami isteri itu tidak muncul-muncul untuk mengambil anak mereka sehingga hari ini.

“Saya tidak mengenali mereka terlalu rapat. Atas rasa kasihan, saya bersetuju untuk menjaga Anita ketika itu.

“Pada asalnya, pasangan yang berusia dalam lingkungan 30-an itu mengenali arwah ayah saya, Raja Md. Noor Raja Daud. Mereka menumpang di rumah keluarga saya di Bachok selama beberapa bulan sebelum pergi ke negara jiran,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

Raja Azlina berkata, selepas Anita ditinggalkan, dia sudah cuba sedaya untuk mencari ibu bapa kandungnya melalui saudara mara terdekat, namun gagal sehingga ke hari ini.

Katanya, dia juga sudah membuat laporan polis dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk urusan dokumentasi sijil kelahiran Anita.

“Anita kini tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri. Keadaan itu menyebabkan dia tidak boleh mendaftar masuk ke sekolah,” katanya.

Menurutnya, orang ramai yang mengenali ibu bapa kandung Anita boleh menghubunginya di talian 018-903 5844 atau berjumpa terus di Kampung Tok Jawa, Bachok.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI