Oleh MOHD. RAFIE AZIMI
KETIADAAN enam pemain utama tidak mendatangkan resah kepada ketua jurulatih Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Aidil Sharin Sahak apabila mereka bertandang ke Ipoh bagi menentang Perak FC pada saingan Liga Super malam ini.
Menurut Aidil, beliau sama sekali tidak mahu menoleh ke belakang serta terlalu meratap ketiadaan pemain atau mengenai apa yang berlaku.
Sebaliknya, kata pengendali dari Singapura tersebut, beliau mahu mencabar pemain muda yang bakal diturunkan esok untuk menampilkan aksi terbaik sekali gus mendatangkan kesukaran kepada pemain-pemain tonggak untuk kembali mendapatkan kesebelasan utama.
“Tiada gunanya kita terlalu memikirkan mengenai apa yang telah berlaku. Apa yang penting, kita harus fokus dengan apa yang berada di depan dan saya sentiasa percaya semua pemain dalam pasukan ini memiliki kemampuan untuk melakukan sesuatu.
“Ketiadaan ramai pemain utama merupakan peluang buat pemain muda menyerlah. Saya cabar mereka untuk ambil peluang ini sebaiknya, tunjukkan apa yang mereka ada dan berusahalah menyusahkan pemain-pemain tonggak yang tidak dapat diturunkan itu untuk merampas kembali tempat mereka dalam pasukan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita sewaktu pasukan itu menjalani latihan di Stadium Suka Menanti, Alor Setar malam kelmarin.
Sebelum ini, empat pemain Kedah berdepan kecederaan iaitu Renan Alves, Muhammad Syazwan Tajudin, Mohd. Syazwan Zainon dan Mohd. Rizal Ghazali.
Pada masa sama, Rodney Celvin dan Fadzrul Danel dilayangkan kad merah pada aksi menentang Terengganu FC (TFC) pada 9 April lalu kemudiannya menambah senarai pemain yang tidak dapat diturunkan dalam perlawanan akan datang.
Mengulas mengenai suntikan vaksin diterima para pemain dan barisan kejurulatihan sehari sebelum Ramadan, Aidil berkata kalangan pemainnya tampak langsung tidak berdepan dengan sebarang alahan atau kesan memudaratkan.
“Malah saya rasakan suntikan vaksin ini memberi lebih keyakinan kepada kami untuk menghadapi saingan liga selepas ini.
“Semangat ditunjukkan pemain cukup baik. Memang ketika kalah kepada TFC minggu lalu, mereka sedikit kecewa tetapi sekarang segalanya tampak kembali membara untuk mereka menampilkan aksi terbaik menentang Perak FC,” katanya.