fbpx

K2

Taman perumahan pesawat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
CAE mula dibangunkan pada tahun 1963 bersama Lapangan Terbang Cameron Park dengan kapasiti 124 lot rumah.

MINAT mendalam terhadap aktiviti penerbangan mendorong Burl Skaggs untuk berpindah ke kawasan perumahan Cameron Airpark Estates (CAE), California, Amerika Syarikat (AS) pada tahun 2003.

Lelaki berumur lebih separuh abad itu memilih tinggal di situ selepas terpikat dengan harga rumah yang agak berpatutan, selain dilengkapi dengan hangar besar yang mampu memuatkan sebuah pesawat ringan.

Langkah jurutera mekanikal penerbangan itu berpindah ke CAE adalah untuk memudahkannya berulang-alik ke tempat kerja di Palo Alto dari rumah ke tempat kerjanya menggunakan pesawat ringan setiap hari.

Dengan menggunakan pesawat, Skaggs dapat mengelak daripada tersekat dalam kesesakan trafik teruk yang memakan masa selama beberapa jam sewaktu pergi dan pulang dari kerja.

“Daripada dua setengah atau tiga jam perjalanan menggunakan kereta sebelum ini, masa perjalanan berjaya dipendekkan kepada 45 minit sahaja apabila menggunakan pesawat ringan.

“Saya bukan sahaja membawa pesawat ini untuk berulang-alik dari tempat kerja, malah ia juga digunakan untuk mengisi masa lapang serta sebagai hobi pada masa lapang,” katanya kepada portal berita tempatan, The Insider.

CAE mula dibangunkan pada tahun 1963 bersama Lapangan Terbang Cameron Park dengan kapasiti 124 lot rumah.

CAE sebuah taman perumahan penerbangan yang membolehkan penduduknya menyimpan pesawat ringan
di rumah serta berkongsi jalan raya dengan kenderaan lain.

Menariknya, jalan-jalan di sekitar CAE memiliki lebar 30 meter bagi membolehkan pesawat ringan melalui kawasan tersebut untuk menuju ke landasan pelepasan.

Skaggs memaklumkan, setiap rumah di CAE memiliki reka bentuk berbeza kerana ia dibina mengikut cita rasa dan kehendak pemilik itu sendiri.

“Rumah-rumah di sini sangat unik kerana dibina dengan rekaan sendiri selain dilengkapi kedai dan restoran bagi kemudahan penduduk. Saya sangat selesa tinggal di sini,” katanya.

Menurut sejarah, selepas berakhir Perang Dunia Kedua, rata-rata penduduk di AS memilih untuk melarikan diri daripada kesesakan kota dengan memulakan hidup baharu di pinggir bandar.

Salah satu kawasan pinggir bandar yang dibangunkan adalah CAE. Ia dibina oleh sebuah komuniti juruterbang AS bagi memudahkan mereka menerbangkan pesawat pada bila-bila masa.

CAE adalah sebuah kawasan taman perumahan penerbangan yang membolehkan penduduknya menyimpan pesawat ringan di rumah serta berkongsi jalan raya sama dengan kenderaan lain.

Penduduk di situ juga disediakan alat kawalan jauh untuk memudahkan mereka membuka pintu hangar secara automatik.

JALAN di sekitar CAE lebar 30 meter bagi membolehkan pesawat ringan melalui kawasan tersebut untuk menuju ke landasan pelepasan.

Keunikan lain adalah jalan raya di situ memiliki papan tanda penerbangan, peti surat dibina lebih rendah bagi membolehkan pesawat melepasinya serta nama jalan dinamakan dengan tema kapal terbang dari Boeing hingga Cessna.

Salah seorang penduduk yang juga bekas juruterbang aerobatik, Julie Clark berkata, dia telah tinggal di taman perumahan udara itu sejak tahun 1983 lagi.

Katanya, para penduduk di CAE mempunyai hubungan akrab dan saling bantu-membantu antara satu sama lain dalam mengatasi setiap pemasalahan yang timbul.

“Kami sangat rapat, semua orang di sini mengambil berat antara satu sama lain. Saya yakin, jiran-jiran di sini mengambil berat tentang saya terutamanya apabila ditimpa masalah kesihatan,” tegasnya.

Tambah Clark, dia sangat menyukai konsep CAE yang memudahkan penduduk mengakses hangar dan menerbangkan pesawat ringan mereka pada bila-bila masa.

“Andai anda menggunakan lapangan terbang biasa, ia mengambil masa kira-kira sejam. Kemudian, anda harus menunggu lagi untuk menjalani pemeriksaan ketat sebelum dibenarkan terbang.

“Di sini, dengan hanya membuka pintu hangar, anda sudah boleh menaiki pesawat sebelum menuju ke landasan untuk berlepas,” ujar Presiden Komuniti Cameron Park Airport, Daniel Kurywchak.

MENGGUNAKAN pesawat ringan ke tempat kerja memendekkan perjalanan iaitu sekitar 45 minit berbanding tiga jam dengan memandu kereta.

Selepas lima tahun tinggal di situ, Kurywchak memaklumkan bahawa rumah-rumah di CAE hanya akan kosong selepas seseorang pemilik itu meninggal dunia.

Katanya, rumah didudukinya ketika ini dibida pada hari sama selepas pemiliknya meninggal dunia bagi mengelak terlepas ke tangan orang lain.

“Anda perlu cepat sekiranya mendengar berita ada rumah yang ingin dijual di CAE. Hal ini kerana jumlah rumah di sini sangat terhad,” ujarnya.

Laman web Living with Your Airplane melaporkan, terdapat kira-kira 640 buah taman penerbangan di dunia, namun CAE dikatakan salah satu yang terbaik.

Hasil tinjauan dilakukan agensi hartanah, Zillow, sebuah rumah di CAE dijual pada harga AS$1.5 juta (RM6.2 juta) termasuk kemudahan hangar dan landasan pesawat yang mampu diakses dari kawasan kediaman.

Menariknya, Kurywchak membina ruang dapur rumahnya menghadap landasan untuk berkomunikasi dengan isteri menerusi radio serta melambai tangan dari tingkap ketika mendarat.

“Saya seperti tidak percaya dapat tinggal di sini. Kami melakukan sesuatu yang istimewa dan tidak dapat dilakukan oleh orang lain di luar sana,” ujarnya.

Salah satu keseronokan tinggal di CAE disebabkan kebanyakan penduduknya berkongsi minat sama dalam penerbangan.

SETIAP rumah di kawasan perumahan CAE, California mempunyai pesawat ringan yang digunakan untuk ke tempat kerja dan bersiar-siar pada waktu lapang.

Jelas Kurywchak, apabila mempunyai kesempatan, mereka akan menghabiskan masa berbual panjang serta berkongsi cerita dan pengalaman mengenai industri penerbangan.

“Apabila ada acara sosial seperti sambutan Krismas dan Halloween, saya berasa sangat gembira kerana berpeluang bertemu juruterbang veteran ketika Perang Dunia Kedua sehingga Perang Vietnam.

“Satu lagi perkara menarik di sini, jika ada hangar terbuka ia bermaksud kedatangan anda sangat dialu-alukan oleh pemilik pesawat untuk berbual mengenai penerbangan,” ujarnya.

Bagaimanapun, Kurywchak menyuarakan rasa kurang puas hati apabila semakin ramai penduduk baharu di CAE terdiri daripada mereka yang menjadi pengumpul kereta.

Katanya, faktor utama berlakunya fenomena tersebut adalah disebabkan kemudahan hangar yang besar sekali gus membolehkan mereka menyimpan kenderaan mereka.

Dia memaklumkan, ia satu cabaran bagi pihaknya untuk memastikan semua penduduk di situ terdiri daripada para penggemar penerbangan.

“Kadang-kadang pengumpul-pengumpul kereta ini mengadu tentang kami disebabkan bunyi bising enjin pesawat. Mereka juga enggan terlibat sama dalam usaha-usaha baik pulih jalan raya di sini.

“Terdapat juga segelintir masyarakat yang tinggal berhampiran CAE membantah mengenai kesibukan trafik udara.

“ Namun, pihak kami sentiasa berusaha membaik pulih hubungan dengan golongan ini,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI