SEBERANG PERAI – Seorang wanita dipercayai mengalami kemurungan nyaris lemas selepas terjun ke dalam laut dari Jambatan Pulau Pinang di Kilometer 1.0 arah pulau dekat sini hari ini.
Wanita berusia 40-an itu bagaimanapun terselamat apabila suaminya yang berada di lokasi kejadian terjun bagi menyelamatkannya yang terkapai-kapai di dalam laut.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 4.40 petang sebelum pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat Perai bergegas ke lokasi.
“Ketika bomba tiba, seorang wanita terjun ke laut dari Jambatan Pulau Pinang.
“Mangsa kemudian diselamatkan dan dibawa oleh suaminya ke tiang jambatan nombor 107 sebelum jentera bomba tiba,” katanya kepada pemberita hari ini.
Pihak bomba turun ke bawah dengan menggunakan kaedah ‘rappelling’ untuk memujuk dan menenangkan mangsa.
“Mangsa dibawa naik melalui Pangkalan Polis Marin, Batu Uban,” katanya. – K! ONLINE