PASUKAN Sri Pahang berharap tidak akan menjadi lubuk gol menjelang aksi getir bertemu pendahulu Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) pada saingan Liga Super di Stadium Darul Makmur, Kuantan malam ini.
Ketua jurulatih Sri Pahang, Dollah Salleh berharap benteng pertahanan dapat memberikan fokus penuh selepas menyaksikan pasukannya mengalami lima kekalahan dalam lapan perlawanan setakat ini.
“Bagi aksi menentang JDT, saya harap pasukan dapat memberi tumpuan penuh khususnya meningkatkan aspek pertahanan yang jelas menjadi kelemahan pasukan sejak kebelakangan ini,” katanya pada pemberita baru-baru ini.
Sementara itu, Dollah mahu sikap terlalu menghormati pasukan lawan segera dibuang oleh barisan pemain Tok Gajah sekiranya berhasrat untuk mengutip mata berharga ke atas Harimau Selatan di laman sendiri.
“Apa yang saya perhatikan, sejak beberapa perlawanan lepas, barisan pemain agak lambat panas selain terlalu menghormati pasukan lawan dengan beraksi sambil lewa pada awal saingan.
“Selain itu, saya juga mahu jentera serangan kami berusaha sebaik mungkin dalam mencipta peluang menjaringkan gol sekali gus mencerahkan peluang mengutip mata,” katanya.
Sebagai rekod, Dollah telah ditugaskan memangku posisi ketua jurulatih skuad Tok Gajah selepas pengendali import, Thomas Dooley direhatkan pada saingan awal musim ini.
Sri Pahang ketika ini menduduki tangga ke-11 Liga Super selepas mengutip lima mata dengan hanya meraih satu kemenangan ketika menentang Sabah FC bulan lalu.