KUALA LUMPUR – Perkenalan seorang wanita dengan seorang lelaki di aplikasi carian jodoh akhirnya mengundang padah apabila dia menjadi mangsa love scam sehingga mengakibatkan kerugian mencecah RM2 juta.
Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Kuala Lumpur, Superintendan Mohd. Mahidisham Ishak berkata, pihaknya menerima laporan berhubung perkara tersebut semalam daripada seorang wanita warga tempatan.
“Wanita berusia 44 tahun itu mendakwa telah berkenalan dengan seorang lelaki warga Amerika Syarikat menerusi aplikasi ‘Tinder’ yang memperkenalkan diri sebagai seorang bekas juruterbang di sebuah syarikat penerbangan luar negara.
“Sepanjang berkenalan selama lima bulan, mangsa telah diminta membuat beberapa pemindahan wang ke dua akaun syarikat tempatan dengan alasan untuk membiayai kursus penerbangan,” katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut Mohd. Mahidisham, setelah melakukan beberapa transaksi atas permintaan suspek, mangsa telah kehabisan wang simpanannya dan telah meminta bantuan kewangan darpada keluarganya untuk disalurkan bagi tujuan membantu suspek.
“Mangsa tersedar dirinya telah ditipu setelah dinasihatkan oleh keluarganya dan membuat laporan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” ujar beliau. – K! ONLINE