CYBERJAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sudah menghubungi penyedia platform media sosial supaya menurunkan kandungan iklan Hari Raya yang mempromosikan aktiviti perjudian seperti yang tular ketika ini.
MCMC menerusi kenyataan akhbar berkata, pihaknya sudah menghubungi Facebook, Twitter, dan YouTube untuk menurunkan kandungan iklan itu mengikut terma perkhidmatan serta piawaian komuniti yang ditetapkan oleh pihak mereka.
Menurutnya, pihak yang terbabit seperti produksi dan pelakon iklan itu juga harus lebih peka untuk tidak turut sama bersubahat dalam kegiatan mempromosikan judi dalam talian kerana ia jelas satu kesalahan.
“Penghasilan kandungan adalah tertakluk kepada Kod Kandungan Komunikasi dan Multimedia untuk dipatuhi oleh mereka yang terbabit dengan penghasilan dan pengedaran kandungan.
“Dalam kebebasan menyediakan kandungan, penyedia harus mengikuti kod kandungan yang sesuai dengan norma masyarakat Malaysia yang majmuk,” katanya.
Terdahulu, satu iklan Hari Raya berdurasi 2 minit 1 saat itu mengundang kecaman dan kemarahan netizen beragama Islam apabila mengeluarkan video mempromosikan aktiviti perjudian dengan bertemakan sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Tambah mengejutkan, turut kelihatan dalam video itu adalah pelakon atau model dipercayai beragama Islam yang lengkap mengenakan pakaian tradisional baju kurung dan baju Melayu. – K! ONLINE