fbpx

Penganggur tukar pengakuan dera bayi 7 bulan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

SEBERANG PERAI – Seorang penganggur menukar pengakuan kepada tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Butterworth di sini hari ini atas pertuduhan mendera seorang bayi lelaki berusia tujuh bulan pada bulan lalu.

Tertuduh, Muhammad Fakhri Abdul Muthalib, 25, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan semula terhadapnya di hadapan Hakim Noor Aini Yusof.

Terdahulu, pada 16 Mac lalu, dia mengaku bersalah di mahkamah sama dan dibenar diikat jamin sebanyak RM10,000 sementara menunggu laporan perubatan mangsa bagi prosiding menjatuhkan hukuman.

Mengikut pertuduhan, Muhammad Fakhri sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap seorang bayi lelaki berusia tujuh bulan telah menganiaya mangsa sehingga menyebabkan kecederaan lebam pada dahi, bawah mata dan perut.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di L-07-07, Pangsapuri Luminari, Jalan Harbour Place, Butterworth di sini kira-kira pukul 9 malam pada 6 Mac lalu.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-dua sekali jika didapati bersalah.

Kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Syeqal Che Murat, manakala tertuduh diwakili peguam Y. Anbananthan.

Kes akan disebut semula pada 27 Mei depan bagi serahan dokumen dan laporan perubatan mangsa. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI