ALOR SETAR – Jenazah pelakon veteran, Abu Bakar Omar selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Akar Peluru, Jalan Pegawai di sini pada pukul 5.40 petang ini.
Terdahulu, jenazah diuruskan di kediaman miliknya di Kuala Nerang dekat sini dan dibawa ke Masjid Al Ghufran untuk disolatkan sebelum dikebumikan.
Lebih 100 orang saudara serta rakan arwah hadir pada majlis pengebumian.
Allahyarham Abu Bakar menghembuskan nafas terakhir dipercayai kerana masalah jantung dan hati di Kedah Medical Centre (KMC) di sini pada 9.04 pagi tadi.
Dia meninggalkan seorang balu dan empat orang, manakala seorang anak perempuannya meninggal pada umur 13 tahun.
Pelakon veteran itu pernah membintangi filem dan drama popular seperti Bila Hati Telah Retak, Cinta Kolesterol dan banyak lagi.
Kemampuan lakonan arwah tidak dapat disangkal apabila pernah memenangi beberapa anugerah seperti Pelakon Lelaki Terbaik (Drama), Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik dan banyak lagi. – K! ONLINE