PETALING JAYA – Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengesan penerbit serta pelakon-pelakon yang terlibat dalam penghasilan satu video iklan Hari Raya yang didapati mempromosikan aktiviti perjudian.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, siasatan yang dilakukan mendapati isi kandungan video berdurasi 2 minit 1 saat itu jelas melanggar undang-undang dan boleh mendatangkan kegusaran awam.
“Satu laporan polis telah dibuat oleh Jabtan Siasatan Jenayah Bukit Aman untuk menyiasat asal usul video ini yang akan menjurus kepada penerbit dan pelakon-pelakon yang terlibat dalam penghasilannya.
“Mereka akan dikesan serta dipanggil untuk memberi keterangan dan kes disiasat di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka,” katannya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut Acryl Sani, pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) juga akan dihubungi untuk membantu siasatan.
“Orang ramai diingatkan agar tidak berkongsi atau menyebarkan video ini melalui sosial media bagi mengelakkan kegusaran awam,” ujar beliau.
Terdahulu, Kosmo! Online hari ini melaporkan tentang penularan satu video iklan bertemakan sambutan Hari Raya Aidilfitri yang dikecam netizen kerana turut mempromosikan aktiviti perjudian secara online.